PAS sokong bentuk kerajaan baharu yang stabil

Tolak pembentukan secara 'pintu belakang'

KUALA LUMPUR: Usaha bagi menukar kerajaan daripada yang jelas tidak menghormati, bahkan mengkhianati Perlembagaan Negara kepada pemerintahan baharu yang lebih baik berpaksikan asas negara, amat perlu untuk disokong.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, tiada istilah ‘pintu belakang’ untuk dilalui PAS kerana parti itu hanya memberi perhatian kepada dua kaedah sahaja iaitu sama ada mengikut lunas undang-undang, ataupun tidak.

Advertisement

Beliau menegaskan demikian pada temubual Sinar Live “Kerajaan Pintu Belakang: Apa Kata PAS?” anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di Pejabat Karangkaf, Shah Alam, sebentar tadi.

“Bagi kami, apa yang diistilahkan dengan ‘pintu belakang’ ini ialah kerajaan pintu belakang ini, sekiranya ia dilakukan, dilaksanakan dengan cara yang melanggar undang-undang.

“Tetapi, selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang, dibuat mengikut lunas undang-undang, makanya ianya adalah satu tindakan yang sah.

“Dan tidak perlu dikhuatiri akan kesan daripada pembentukan sesebuah kerajaan itu selagi mana ia dilakukan mengikut lunas undang-undang yang sah,” ujarnya menyatakan pendirian PAS.

Tegas beliau, PAS menyokong sebarang usaha untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil demi keharmonian negara, apatah lagi belum sampai dua tahun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berlaku kita berbagai pelanggaran terhadap Perlembagaan Negara.

Bahkan bidasnya, pemerintahan PH secara jelasnya dan terang-terangan tanpa bersembunyi lagi melaksanakan secara strategik agenda untuk menggugat kedudukan dan keistimewaan Islam, Melayu, Bumiputera serta tonggak-tonggak negara.

Sedangkan menurutnya, rakyat selama ini hidup aman harmoni berasaskan kepada Perlembagaan Negara yang menetapkan segala hak tersebut kepada Peribumi di Tanah Melayu kerana telah menerima kaum Tionghoa dan kaum India dibawa oleh penjajah British.

“Sebagai balasan kepada tolak ansur yang diberikan oleh orang Melayu ini, maka diberikan peruntukan khusus dalam Perlembagaan yang melibatkan kedudukan agama Islam, keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu, dan juga Majlis Raja-raja Melayu sebagai teras kepada pembentukan negara.

“Tetapi sejak Kerajaan PH memerintah, tindakan mereka terutama sekali pimpinan DAP yang secara jelas dan terbuka cuba untuk merobek kedudukan ini. Contohnya dengan cuba mengiktiraf ICERD yang secara jelasnya ICERD ini dia mencabar semua kedudukan keistimewaan tersebut.

“Isu Rom Statut. Bagaimana satu tindakan yang begitu jelas meletakkan Yang di-Pertuan Agong dan juga Raja-raja Melayu untuk diletakkan kesalahan mereka sekiranya berlaku jenayah-jenayah tertentu dalam Rom Statut ini.

“Dan banyak lagi isu lain, contohnya ialah isu cubaan untuk menghapuskan hukuman bunuh, yang hujung jatuhnya ialah akan menjejaskan kedudukan Raja-raja Melayu. Ini naratifnya dilihat begitu jelas.

“Dan di antaranya lagi ialah untuk menghapuskan Akta Hasutan. Yang mana Akta Hasutan ini dibangunkan khusus untuk menjaga kedudukan istimewa Islam, orang Melayu, Raja-raja Melayu daripada dikritik,” kupasnya. – HARAKAHDAILY 18/2/2020