PAS sedia bersama Mahathir, tetapi tidak Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa ini tidak bersama Muafakat Nasional atau blok pembangkang, tetapi masih lagi dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS dan Muafakat Nasional bagaimanapun bersedia untuk membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang beriltizam bersama blok tersebut.

Jelas beliau, iaitu mereka yang bersungguh-sungguh untuk membina sebuah negara yang baik di mana perundingan termasuk pembahagian kerusi dan sebagainya dibuat mengikut keadaan semasa.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada temubual Sinar Live “Kerajaan Pintu Belakang: Apa Kata PAS?” anjuran Sinar Harian yang dilangsungkan di Pejabat Karangkaf, Shah Alam, sebentar tadi.

“Sekiranya berlaku perkembangan lain, yalah, kita tidak tahu, mungkin BERSATU akan bersama Muafakat Nasional, mungkin parti-parti lain juga akan bersama dengan Muafakat Nasional,” ujarnya.

Pun begitu beliau menegaskan bahawa PAS tidak mungkin bersama dengan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan parti tersebut pada masa ini kerana mengenali serta mempunyai pengalaman suatu ketika dahulu.

Jelasnya, PAS punya sejarah panjang bersama Anwar menerusi Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dalam beberapa penggal pilihan raya termasuk membentuk kerajaan bersama di beberapa negeri.

“Jadi pengalaman kami bersama dengan Dato’ Seri Anwar, dan bersama dengan PKR, kami rasakan ada halangan-halangan tertentu yang menghalang kami daripada terus bekerjasama. Jadi, mungkin saya tak perlu sebut secara terbuka.

“Tetapi kami merasakan bahawa kerjasama dengan Anwar dan juga PKR ini, kami pernah ada kerjasama, dan kami ada sejarahnya. Dan kami sangat mengenali pimpinan mereka, maka kerana itulah kami mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan mereka selepas menjelang PRU 14 dan selepasnya,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 18/2/2020