‘A Day For Charity’ AMAL bina jaringan setempat

GOMBAK: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Gombak dengan kerjasama Pemuda PAS DUN Sungai Tua telah melaksanakan ‘A Day For Charity’ di rumah PPRT, Kampung Sungai Kertas, Sungai Tua, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Inisitif yang diharap menjadi medan membina jaringan ukhuwah ini telah dijayakan bersama dengan penglibatan PAS Cawangan Kampung Sungai Kertas dan Persatuan Penduduk PPRT Kampung Sungai Kertas.

Menerusi aktiviti bulanan dalam agenda teras kebajikan ini, AMAL selaku entiti Pemuda PAS telah turun mendekati masyarakat setempat melalui aktiviti dapur rakyat, gotong-royong kebersihan dan sumbangan pek kebajikan.

Seramai 40 anggota AMAL dan Pemuda PAS Gombak telah turun berkhidmat pada kali ini di mana program dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS DUN (JPrD) Sungai Tua, Damanhuri Dol.

Turut bersama mantan calon PAS N.16 Sungai Tua, Ustaz Mohammad Ibrahim yang telah memimpin tahlil dan menyampaikan tazkirah ringkas kepada petugas dan penduduk.

Bahan masakan untuk dapur rakyat untuk hidangan makan tengahari semuanya disumbangkan ahli PAS dan orang ramai yang dermawan, begitu juga dengan peralatan gotong-royong, pek kebajikan yang turut disumbangkan oleh mereka yang prihatin.

Seramai 20keluarga telah dipilih untuk disampaikan pek kebajikan dan majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang DiPertua PAS Gombak Ustaz Salleh Huddin Nasir. – HARAKAHDAILY 19/2/2020