Ameerah-Puteri Kepala Batas tawan Bukit Langkap

KEPALA BATAS: Ameerah Kawasan dan Puteri Umno Bahagian bagi Parlimen Kepala Batas telah menjalin hubungan bersama menerusi program Hiking Ukhuwah di Bukit Langkap, Kubang Semang, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program ini bertujuan merapat ukhuwah antara kedua entiti muda PAS dan Umno ini ke arah meneguhkan kerjasama dalam menjayakan agenda dam gerak kerja akan datang secara lebih efisyen dan praktikal.

Ianya juga sebagai sebahagian daripada merapatkan jurang dan menyemarakkan lagi persefahaman kedua pihak dalam menggerakkan usaha-usaha menerusi Muafakat Nasional yang termeterai sejak September lalu.

Penolong Setiausaha Muslimat PAS Kepala Batas, Sufiah Muhamad Umran dalam pengisiannya memetik kisah kehebatan srikandi Islam, Khawlah al-Azwar yang berani termasuk berdepan tentera Romawi demi mempertahankan Islam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa Allah S.W.T adalah matlamat perjuangan kedua-dua parti di mana ia harus didukungi dengan teguh oleh anggota Ameerah dan Puteri dari kedua parti tersebut.

Para peserta ternyata memberi reaksi positif kepada program julung kali ini yang tidak hanya riadah mendaki semata-mata tetapi juga pengisian rohani kepada anggota dari kedua entiti itu. – HARAKAHDAILY 19/2/2020