Kerajaan PH ternyata sudah tidak tentu arah

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) ternyata sudah tidak tentu arah sehingga kenyataan-kenyataan yang dibuatnya sudah tidak tentu hujung pangkalnya dan semakin memeningkan kepala rakyat.

17 Februari lalu, hotel-hotel yang dimiliki Tabung Haji (TH) telah diarahkan ditutup bermula April ini. Arahan tersebut bukanlah cerita rekaan, malah datangnya daripada pihak yang memang berautoriti iaitu Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), Zulkefli Ahmad.

Dalam kenyataannya pada 17 Februari lalu, Zulkefli menegaskan penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel-hotel yang terlibat akan diambil alih oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), dan bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik kepada UJSB.

Advertisement

Kenyataan Zulkefli itu jelas merujuk kepada penutupan empat buah hotel iaitu hotel-hotel milik TH di Kota Kinabalu, Penang, Kedah dan Terengganu yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2020.

Sebaik sahaja berita tersebut tersiar, Kerajaan PH terus diserang teruk. Serangan itu bukan sahaja dilakukan oleh para pemimpin pembangkang, tetapi juga daripada rakyat dari pelbagai peringkat dengan masing-masing menyifatkannya sebagai tindakan yang semakin teruk daripada PH untuk rakyat dan negara ini.

Sebelum ini, TH melalui TH Plantations telah menjual secara lambak ladang-ladang milik mereka kepada syarikat swasta, sehingga menyebabkan 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar itu kini hanya tinggal 24,000 hektar sahaja, sedangkan harga kelapa sawit kini sudah semakin pulih.

TH juga sebelum ini telah menjual aset-aset strategiknya termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Dengan itu, tidak menjadi hal yang pelik jika tindakan TH itu disifatkan oleh rakyat sebagai satu permulaan perancangan jahat Menteri PH terhadap aset-aset pemilikan orang Islam dalam negara ini.

Penutupan hotel-hotel itu juga menyebabkan pelbagai pihak menjadi risau dengan nasib kakitangan hotel-hotel TH yang majoritinya orang Islam Melayu selepas tempat mereka mencari rezeki dihentikan operasi.

Bagaimanapun, pihak kerajaan PH dalam maklum balasnya semalam mengatakan Kerajaan PH tiada rancangan untuk menutup empat hotel TH itu, sebaliknya rangkaian hotel itu akan terus beroperasi di bawah pengurusan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, hotel terbabit akan melalui proses penjenamaan semula daripada TH Hotel kepada Hotel Raia dan operasinya tetap patuh syariah. Kebanyakan daripada 278 kakitangan dikekalkan manakala bakinya ditawarkan kepada jawatan lain.

Dalam kenyataannya itu, A Kadir mengatakan bahawa laporan berhubung penutupan empat hotel terbabit adalah fitnah yang dibuat oleh jentera propaganda pembangkang.

“Masalah dengan jentera propaganda pembangkang ini, khususnya yang memegang jawatan parti, mereka suka mengelirukan rakyat jelata dengan mencipta dan menyebarkan berita palsu,” katanya seperti yang dilaporkan media.

Kenyataan A Kadir itu merupakan sesuatu yang amat pelik. Kenyataan mengenai penutupan empat hotel TH itu datangnya daripada Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), bukannya direka oleh pihak pembangkang, tetapi kenapa pula pihak pembangkang disalahkan.

Keadaan ini jelas menunjukkan pihak kerajaan PH kini seolah-olah tidak tentu arah, tidak tentu hujung pangkal dan hilang punca sehingga asyik menyalahkan pihak pembangkang dalam segala hal. Pada hal pihak pembangkang dan rakyat memberi reaksi mereka berhubung perkara itu ekoran kenyataan pihak berautoriti daripada pihak TH sendiri.

Lebih jauh dari itu, reaksi pihak pembangkang dalam perkara ini juga tentunya cukup berasas. Dalam industri perhotelan, bukanlah perkara luar biasa untuk syarikat pengurusan hotel berbeza dengan pemilik bangunan hotel.

Jadi, pemindahan pemilikan bangunan kepada syarikat lain bukanlah alasan kenapa hotel-hotel TH itu terpaksa ditutup, melainkan syarikat milik Kementerian Kewangan itu sendiri sememangnya sudah ada rancangan untuk menjual bangunan-bangunan tersebut kepada pihak lain yang mungkin akan memulakan operasi hotel mereka sendiri nanti.

Di samping itu, A Kadir juga tentunya tidak lagi boleh menyembunyikan fakta yang sebenar bahawa pemindahan pemilikan hotel-hotel itu serta bangunan-bangunannya daripada THHR kepada UJSB sekarang bukan juga pemindahan biasa.

Malah, semua itu dengan sendirinya sudah bermaksud hotel-hotel yang dimiliki oleh TH itu telah dijual kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan, sekali gus tidak dapat disembunyikan realiti sebenar apa diperkatakan oleh pihak pembangkang dan rakyat berhubung dengan kehilangan aset terbaru TH itu.

AZIZ MUDA
19 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 19/2/2020