Perang 5G: Amerika VS China

LATAR belakang

(1) Hari ini media-media Barat agak bising mengenai Huawei yang tak perlu untuk saya perkenalkan lagi. Huawei dikatakan mempunyai akses kepada alat-alat penguatkuasaan undang-undang untuk pemantauan panggilan. [1]

Produk China ini rupanya menggugat Barat yang selama ini dikatakan menjadi johan penghasilan teknologi telekomunikasi. Namun, tuduhan Amerika tadi dinafikan oleh Huawei.

(2) Tak pastilah sama ada Amerika sengaja menimbulkan naratif, atau memang China mempunyai agenda ‘back door’ ini. Apatah lagi mereka mula menjuarai data 5G. [2]

Tahun lepas, Amerika mengharamkan syarikat daripada menjual komponen dan teknologi kepada Huawei dan 68 syarikat yang berkaitan, atas faktor keselamatan negara. [2]

(3) Namun, UK selama ini kelihatan tiada masalah dengan Huawei ini. Jurucakap Huawei berkata:

“Kami adalah syarikat swasta yang telah membekalkan peralatan 3G, 4G dan jalur lebar kepada syarikat-syarikat telekom di UK selama 15 tahun. Pakar-pakar Inggeris jelas teknologi kami tidak menimbulkan risiko keselamatan.”

(4) Di sini kita perlu faham bahawa Amerika dan UK tidak sependapat. Iaitu dalam penggunaan teknologi Huawei. Amerika merasa bimbang, tetapi UK sendiri tidak beranggapan sedemikian.

Pada akhir tahun 2019, Huawei telah melancarkan satu cabaran undang-undang terhadap keputusan pengawal selia Amerika untuk mengklasifikasikannya sebagai ancaman keselamatan negara. [3]

Amerika menyekat Huawei

(1) Dalam berhadapan dengan kehangatan persaingan teknologi telekomunikasi ini, Ketua Pegawai Undang-undang Huawei Song Liuping, berkata:

“Kerajaan AS tidak pernah membuktikan dakwaan bahawa Huawei adalah ancaman keselamatan negara, sebab bukti ini sememangnya tidak wujud.”

(2) Sementara itu, Amerika telah menekan negara-negara lain untuk tidak membenarkan Huawei membina infrastruktur telekomunikasi 5G mereka.

Kelihatan Amerika benar-benar bersungguh untuk membendung Huawei. Namun sepertimana yang saya katakan, bukan semuanya setuju dengan Amerika.

(3) Pada Khamis lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan tuduhan baru terhadap Huawei, berkaitan dengan kecurian data.

Mereka mendakwa China mencuri rahsia perdagangan dan menggunakan penipuan demi penipuan, serta melanggar sekatan perdagangan Amerika dengan berurusan dengan Iran dan Korea Utara. [4]

(4) Namun, tuduhan ini juga dinafikan oleh Huawei. Kelihatan Amerika benar-benar tergugat dengan syarikat ini. Mungkin atas faktor ingin menguasai dunia.

Hal ini bukanlah perkara baru. Persaingan ini dilihat mula memanas pada awal 2019 lagi apabila Amerika bertindak menyekat jenama telekomunikasi ini.

Huawei VS Iphone

(1) Sepanjang 2019, menyaksikan usaha-usaha sekatan terhadap syarikat ini. Pada Mac tahun lepas, Huawei bertindak menyaman Amerika apabila sewenang-wenangnya bertindak sedemikian.

(a) Pada Mei 2019 [5] Google mengumumkan sekatan kepada Huawei daripada menggunakan sistem operasi Android pada telefon pintar akan datang. Tetapi sekatan tersebut ditangguhkan.

(b) Pada masa yang sama, Google turut menghentikan sokongan dan kemaskini Android kepada Huawei, menggambarkan krisis ini semakin meruncing.

(c) Selain daripada itu, Intel dan Qualcomm ‘buatan’ Amerika dilaporkan turut bersama Google dalam usaha sekatan tersebut. Apatah lagi pada 2018 Huawei dilihat berjaya mengatasi Apple.

(2) Apa yang terjadi ini dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan susulan daripada sekatan yang dikuatkuasakan oleh Presiden Amerika, Donald Trump.

Pada Mei hingga Julai 2019 Amerika kelihatan tidak konsisten sama ada untuk menyekat Huawei atau tidak [6]. Namun kempen anti-Huawei dilihat berterusan sejak Mei 2019.

(3) Banyak lagi kisah-kisah sekatan Amerika terhadap Huawei yang boleh dibaca sendiri dalam internet. China pula dilihat mula berkempen hancurkan Iphone, sejak Mei 2019. [7]

Kempen ini berterusan dan subur di China, sehinggalah pada Februari tahun ini Apple mula menutup premisnya sementara, akibat jangkitan Virus Corona. [8]

Zionis dan telekomunikasi

(1) Mereka yang ‘berideologi’ Zionis sememangnya berteori bahawa kunci untuk menguasai dunia ialah dengan menguasai telekomunikasi.

Golongan yang sealiran dengan Zionis dalam lipatan sejarah ini mengkaji mengenai sejarah Bani Israel sendiri. Antaranya sejarah Nabi Sulaiman A.S yang merupakan Raja Bani Israel yang memerintah dunia.

(2) Di dalam kepercayaan mereka, kelebihan yang Allah S.W.T beri kepada Nabi Sulaiman A.S ialah mampu berkomunikasi dengan binatang dan makhluk-makhluk lain.

Menggambarkan bahawa penguasaan telekomunikasi merupakan kunci untuk menguasai dunia. Hal inilah yang mereka usahakan sejak zaman-berzaman.

(3) Apatah lagi cetusan era globalisasi pada 1995 [9], yang mula mewujudkan fenomena Hoax yang lebih terancang. Mereka cuba menguasai telekomunikasi di peringkat global.

(4) Apatah lagi persaingan antara Huawei dan Apple ini memanas dilihat bermula sejak Huawei mula ‘menceburkan’ diri dalam dunia 5G yang mampu mengatasi Amerika. [10]

(a) Teknologi ini dikatakan mampu menghubungkan dengan berjuta-juta peranti, bermula daripada kereta tanpa pemandu, hinggalah rumah pintar.

(b) Bahkan teknologi ini dikatakan lebih laju 20 kali ganda berbanding teknologi 4G yang sedia ada, menjadikan dunia ini semakin pantas bergerak, dan jarak yang jauh semakin dekat dihubungkan.

Projek yang menguntungkan

(1) Awal dekad ini menyaksikan bahawa Amerika menang dalam perlumbaan 4G, ia memberikan rangsangan hampir RM400 bilion kepada KDNK mereka. [11]

Sekiranya persaingan 5G ini dimenangi oleh Amerika, maka akan meningkat sebanyak RM2 trilion daripada KDNK sedia ada. Sebab itu tak pelik Amerika cuba ‘main kasar’ dalam persaingan ini.

(2) Amerika merasa tergugat dengan 5G ‘China’ ini katanya atas faktor keselamatan negara. Kerana 5G ini mampu menembusi talian-talian yang sedia ada.

China hari ini pergi agak jauh dalam teknologi 5G. Bayangkan sekiranya China sebagai ‘abang besar’ dalam membekalkan teknologi ini ke seluruh dunia.

Sudah pasti China sangat berpotensi untuk mengintai seluruh dunia dan mampu mengatur perancangan yang di luar jangkaan di peringkat global.

(3) Kelihatan sangat jelas rasional mengapa Amerika begitu tergugat dalam persaingan telekomunikasi. Sebab itulah Amerika cuba bermain kasar dalam hal ini.

(4) Hari ini apabila China diserang dengan Virus Corona, seolah-olah ia memberi peluang kepada Amerika untuk berasa tenang sedikit. Atau mungkinkah Amerika sendiri yang mencipta peluang itu?

Teknologi 5G yang merentasi sempadan dengan kadar kelajuan luar biasa ini menggambarkan dunia semakin menuju ke penghujungnya.

[1] https://www.wsj.com/articles/u-s-officials-say-huawei-can-covertly-access-telecom-networks-11581452256

[2] https://www.bbc.com/news/business-51097474

[3] https://www.bbc.com/news/business-50667596

[4] https://www.bbc.com/news/technology-51506222?ns_campaign=bbcnews&ocid=socialflow_facebook&ns_mchannel=social&ns_source=facebook

[5] https://www.majalahsains.com/sekatan-amerika-syarikat-terhadap-huawei-apa-langkah-seterusnya/

[6] https://www.google.com/amp/s/amanz.my/2019209913/amp/

[7] https://www.google.com/amp/s/wiser.my/rakyat-china-musnahkan-iphone-sebagai-tanda-sokongan-kepada-huawei/amp/

[8] https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/02/651725/apple-tutup-operasi-di-china-sehingga-9-februari/amp

[9] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3072846619423744&id=100000953077134

[10] https://iluminasi.com/bm/ini-sebab-kenapa-amerika-syarikat-dan-china-bertarung-untuk-kawal-5g.html

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/2/2020

Advertisement