Serangan Evangelis buktikan wibawa Presiden PAS

BEGITU membara kemarahan dan kebencian bekas duta yang kini antara tokoh utama Evangelis Kristian di Malaysia, Dennis Ignatius, terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Kemarahan dan kebencian ini semata-mata berpunca daripada kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi bahawa Usul Percaya PAS terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri adalah untuk selamatkan Malaysia.

Dalam tulisan beliau bertajuk “Siapa akan selamatkan Malaysia dari Hadi?”, Dennis Ignatius sebaliknya mendakwa Malaysia perlu diselamatkan daripada Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang kononnya mahu memecah belahkan PH.

Advertisement


Dennis Ignatius mendakwa, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Tun Dr Mahathir tidak dapat menerima konfigurasi politik yang muncul selepas PRU14 kerana ia memberi terlalu banyak kuasa atau peranan kepada bukan-Melayu, khasnya DAP, dalam kerajaan.

Pernyataan bahawa bukan-Melayu, khasnya DAP, diberi terlalu banyak kuasa atau peranan dalam kerajaan adalah satu hakikat dan ini dipersetujui oleh hampir semua umat Melayu Islam di negara ini, bukan sahaja oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi.

Sepatutnya isu inilah yang perlu diulas oleh Dennis Ignatius, iaitu apakah wajar bukan-Melayu, khasnya DAP, diberi terlalu banyak kuasa atau peranan dalam kerajaan, sebaliknya beliau memilih untuk menyerang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi.

Kata Dennis Ignatius, di bawah kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi, PAS gagal menguruskan negeri-negeri diperintahnya, tiada idea bagaimana hendak mentadbir negeri dan sekadar bergantung kepada pemberian daripada Kerajaan Pusat.

Saya melihat serangan Dennis Ignatius terhadap Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi adalah bukti nyata betapa kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi memberi impak besar kepada percaturan politik negara sehingga membimbangkan lawan

Serangan Dennis Ignatius ini juga memaparkan kecetekan beliau berpolitik kerana PAS di bawah kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi mempunyai banyak agenda ekonomi yang terpapar di dalam pelbagai dokumen bertulis yang PAS keluarkan.

Dakwaan bahawa negeri-negeri PAS sekadar bergantung kepada pemberian daripada Kerajaan Pusat pula adalah dakwaan jahil kerana ‘pemberian’ adalah kewajipan Kerajaan Pusat kepada semua negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta aturan dan peraturan kewangan atau keputusan Majlis Kewangan Negara.

Yang perlu dipersoalkan oleh Dennis Ignatius sekarang ialah ke manakah perginya janji PH di dalam manifestonya untuk memberi jumlah royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar petroleum, termasuk Terengganu dan Kelantan yang diperintah oleh PAS, sebanyak 20 peratus atau nilai yang bersamaan.

Dan yang perlu dipersoalkan oleh Dennis Ignatius sekarang ialah ke manakah perginya janji PH di dalam manifestonya untuk mengkhususkan “50 peratus daripada peruntukan belanja pembangunan kepada lima negeri termiskin, iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perlis, pada tiga tahun pertama pentadbiran PH”.

Inilah isu-isu sebenar dalam perkara ini, bukan apa yang dibangkitkan oleh Dennis Ignatius.

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 19/2/2020