Tiada penyelewengan dana Palestin – NGO

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia terkilan dengan dakwaaan Duta Palestin, Walid Abu Ali yang mengatakan berlaku penyelewengan dana sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin.

Advertisement

Menurut Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan, kenyataan Walid Abu bukan sahaja merosakkan imej dan reputasi NGO Malaysia, bahkan turut akan memberi kesan kepada reputasi kerajaan dan rakyat Malaysia.

Katanya, tuduhan melampau dan tidak berasas ini sepatutnya disertai dengan bukti dan bukan secara umum.

“NGO di Malaysia selama ini mengutip dana daripada rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan NGO masing-masing di Palestin dan tidak semestinya melalui kerajaan.

“Tuduhan beliau berkaitan penyelenggaraan Masjidil Aqsa adalah tidak tepat kerana urusan itu berada di bawah tanggungjawab Jabatan Wakaf yang diuruskan oleh kerajaan Jordan.

Memetik laporan Harian Metro sebelum ini, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mendakwa dana jutaan ringit yang disumbangkan rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa tidak pernah sampai ke Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang mentadbir urus masjid berkenaan.

Mengulas lanjut, menurut Zulkifli, sepanjang 17 tahun sejak Gaza dikepung Israel, pelbagai bantuan disalurkan oleh NGO-NGO Malaysia dalam berbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan, makanan, perubatan, pendidikan, dan infrastuktur.

Jelasnya, sumbangan-sumbangan yang diuruskan oleh NGO Malaysia bukan sahaja diterima daripada rakyat Malaysia, tetapi juga daripada Kerajaan Malaysia.

“Ini jelas menunjukkan kepercayaan kerajaan Malaysia kepada NGO Malaysia.

“Semua sumbangan ini diperakui sendiri oleh rakyat Palestin termasuk beberapa jabatan kerajaan di sana, antaranya Kementerian Kesihatan, Majlis-Majlis Perbandaran, Kementerian Pendidikan serta universiti-universiti, terutama di Gaza.

“Sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk kesejahteraan Masjidil Aqsa turut disalurkan oleh NGO Malaysia terus kepada penduduk Palestin di sekitar masjid berkenaan, terutama pada bulan Ramadan,” katanya.

Beliau pada masa sama menjelaskan bahawa bukti penyaluran bantuan serta pelaksanaan bantuan boleh dteliti dalam laporan tahunan mana-mana NGO berserta dengan statistik, gambar dan video serta laporan media tempatan dan luar negara.

Malah, wakil media tempatan turut menjadi saksi NGO-NGO di Malaysia membuat penyerahan bantuan dan sumbangan.

Justeru itu, beliau mewakili NGO-NGO Malaysia menuntut Duta Palestin ke Malaysia menarik balik kenyataan dan tuduhan yang dilemparkan selain menyatakan permohonan maaf secara terbuka sekiranya beliau gagal membuktikan segala tuduhan liar beliau itu.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama NGO-NGO Malaysia Viva Palestina Malaysia, ABIM, Global Peace Mission, MyCARE, Haluan Malaysia, MAPIM, MEDICOM, CAKNA Palestine dan MAHAR, hari ini.- HARAKAHDAILY 19/2/2020