Video viral Doktor mengamuk : Selesaikan puncanya

HARI ini viral satu video memaparkan seorang doktor yang dikatakan dari sebuah Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di daerah Seremban memarahi pesakitnya dengan nada marah dan suara yang tinggi. 

Advertisement


Video ini menjadi bahan bicara netizen dan rakyat, lebih-lebih lagi dalam kalangan staf kesihatan.


Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) telah mengeluarkan kenyataan menerangkan isu ini telah diselesaikan melalui rundingcara antara kedua-dua pihak. 


JKNNS juga melalui kenyataan tersebut meminta orang ramai tidak membuat apa-apa andaian terhadap mana-mana pihak yang terlibat, dan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi yang telah disediakan (Rujuk Post Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan 17 Februari 2020).


Dalam isu ini, Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan ingin menarik perhatian semua pihak kepada isu di sebalik masalah ini, iaitu staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) “underfunded, understaffed, underpaid, overworked, overstretched, and with facilities overcrowded with patients” (Rujuk Post Facebook Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 17 Julai 2019). 


Ini adalah antara faktor utama mengapa seorang doktor yang sepatutnya terlatih dengan profesionalisme boleh hilang sabar dan bertindak di luar batas profesionalisme beliau. 


Ini juga faktor yang perlu diselesaikan terlebih dahulu berbanding menghukum doktor itu atas sikap yang dikatakan tidak profesional itu.
Dalam masalah ini, masih ada pihak di kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sibuk berbincang soal siapa PM ke 8. 


Ini menjadikan rakyat khususnya staf KKM bosan dan meluat dengan sikap gila kuasa pimpinan PH.


Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan menggesa kerajaan PH untuk behenti berpolitik dan berbalah sesama parti didalam pakatan dan seterusnya sama-sama memikirkan masalah rakyat dan negara. 


Masalah kesihatan masalah semua rakyat. Tidak mahu memikirkan masalah rakyat? Kalau sudah tidak mahu, serahkan sahaja kepada PAS dan Muafakat Nasional.


Masyarakat juga harus memainkan peranan yang penting dalam hal ini untuk menggunakan saluran yang betul dalam membuat aduan. Tiada yang sempurna, kita saling lengkap melengkapi.

BADZLI BAKAR

Ketua Lajnah Kesihatan/Ketua Penerangan Negeri Badan Pehubungan PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 19/2/2020