Di mana laporan tahunan TH 2018?

SAYA memerhati perkembangan Tabung Haji dengan penuh resah terutama membabitkan penjualan dan pindah milik aset kepada pihak ketiga mutakhir ini.

Advertisement

Namun apa yang lebih meragukan saya adalah apabila Laporan Kewangan Tabung Haji bagi tahun 2018 masih belum dipamerkan di laman sesawang rasmi mereka.

Sebelum ini, Tabung Haji tiada sebarang masalah menerbitkan Laporan Tahunan Kewangan mereka antara 6 hingga 7 bulan selepas berakhirnya tahun kewangan semasa.

Laporan Kewangan 2018 yang sudah diaudit adalah amat penting memandangkan pada tahun tersebut telah berlaku pemindahan aset yang sangat besar daripada Tabung Haji kepada syarikat SPV milik Kementerian Kewangan.

Melalui laporan tahunan, rakyat akan dapat menilai sama ada segala urusan Tabung Haji telah dijalankan dengan telus dan berdasarkan standard perakaunan yang betul.

Sebagai contohnya, rakyat mahu tahu apakah RM300 juta tunai yang dijanjikan sebagai sebahagian daripada transaksi penjualan aset Tabung Haji telah dibayar oleh SPV Kementerian Kewangan. Tanpa laporan tahunan kewangan yang telah diaudit, persoalan ini akan terus berlanjutan.

Kegagalan pengurusan Tabung Haji dalam isu ini hanya akan menambahkan syak rakyat mengenai ketelusan pengurusan wang deposit mereka yang telah diamanahkan.

Pakatan Harapan yang selama ini berdiri di atas slogan ketelusan kelihatannya telah gagal menguruskan sebuah institusi kewangan Islam yang selama ini menjadi kebanggaan umat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 20/2/2020