Lawatan bawa mesej penyatuan umat Islam Nusantara

KULA LUMPUR:Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pimpinan parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan para ulamak sepanjang berada di Indonesia beberapa hari lalu. 

Advertisement

Pertemuan itu diadakan bagi tujuan merapatkan hubungan silaturrahim dan kerjasama di antara pelbagai pihak di dua buah negara serumpun yang majoriti penduduknya Islam.

Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Abdul Malik Abdul Razak berkata, dalam beberapa pertemuan berkenaan, Tuan Guru Abdul Hadi turut menyampaikan mesej penyatuan umat Islam Nusantara.

Katanya lagi, semua pihak harus mencari titik persamaan dan mengelakkan perpecahan dalam perkara furu’ dan kecil yang sewajarnya diselesaikan atas semangat persaudaraan Islam. 

Dalam pada itu kata Abdul Malik, Presiden PAS juga mengulangi pendirian bahawa sebarang kelalaian dan kelekaan memungkinkan campur tangan asing ke dalam negara umat Islam bagi memporak-perandakan keamanan negara.

Malah tambahnya, Tuan Guru Abdul Hadi juga menegaskan hubungan Islam, kenegaraan dan kekeluargaan dalam rumpun Nusantara ini adalah penting untuk dijaga kerana majoriti penduduk Islam dan kaya dengan sumber hasil bumi.

Abdul Malik memaklumkan, walaupun Presiden PAS berdepan jadual padat semasa di Jakarta, namun ia amat bermanfaat untuk bertukar pandangan mencari penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku dalam dunia Islam dan politik antarabangsa.

Beliau berharap agar lawatan kerja Presiden PAS bersama Timbalan Peesiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man,dan para pegawai ke Indonesia membawa kebaikan kepada umat Islam keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 20/2/2020