Tolak PKR dan DAP kerana merugikan Islam

BATU: PAS pernah bekerjasama serta bergabung dengan PKR dan DAP, namun keduanya ditolak atas tindakan parti-parti tersebut yang secara jelas merugikan Islam, demikian tegas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya.

Advertisement

Sebaliknya, PAS menerima Umno dengan memeterai Piagam Muafakat Nasional pada September tahun lalu atas kerjasama untuk bersama membawa sinar Islam dari perjuangan politik yang didukungi kedua-dua parti kini.

Perkara tersebut dijelaskannya pada Himpunan Wanita Muafakat Nasional (HWMUNA162) di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini awal minggu ini.

“Apabila sinar Islam cuba diranapkan, cuba dihilangkan, maka PAS tidak merasa segan silu, bahkan tidak merasa kerugian untuk ditinggalkan dan mereka keluar dari Pakatan (Rakyat) dahulu,” ujarnya.

Beliau turut menyingkap bahawa kerjasama dan penyatuan antara PAS dan Umno bukan perkara baharu, tetapi ulangan semula sejarah yang pernah berlaku beberapa kali, namun terpisah oleh berbagai sebab hingga kini kembali bertaut.

Jelas beliau, sejarah menyaksikan pertembungan antara PAS dan Umno telahpun bermula sejak awal pertubuhan PAS lagi pada tahun 1951.

“(Tetapi) PAS dan Umno pernah berkerjasama pada sekitar tahun 1974 sehingga 1978. Namun, setelah 4 tahun berkawan, PAS dan Umno kembali bermusuhan untuk 40 tahun seterusnya iaitu dari 1978 sehingga tahun 2018.

“40 tahun itu sendiri merupakan satu jangka yang cukup matang. 40 tahun lamanya PAS dan Umno berlawan, akhirnya Allah S.W.T menurunkan rahmat-Nya menyatupadukan kedua-dua parti terbesar orang Melayu-Islam di Malaysia.

“4 tahun yang PAS dan Umno pernah berkerjasama dahulu (1974-1978) adalah berasaskan slogan “Bantu Melayu” yang kita perjuangkan kerana ketika itu terlalu ramai orang Melayu yang berada dalam kemiskinan.

“Setelah 40 tahun berpisah, Allah datangkan Islam sebagai sebab utama untuk PAS dan Umno berganding bahu memenang dan menegakkan Islam di Malaysia,” jelas beliau.

Beliau menyeru semua hadirin agar terus bergerak kerja walau terdapat pelbagai pihak yang cuba menggugat agar kerjasama ini tidak bertahan dengan mengapi-apikan hubungan PAS dan Umno.

Ustaz Azhar juga mengingatkan hakikat Malaysia yang sedang berada di fasa di mana rakyatnya sudah sangat muak dengan perebutan kuasa yang berlaku dalam Pakatan Harapan.

“Disebabkan itu, PAS dan Umno bakal mengemukakan Usul Undi Percaya di Parlimen sejurus saja Sidang Parlimen kali ini dibuka. Dan segala percaturan di atas, selaku ahli selayaknya kita serahkan kepercayaan dan keyakinan pada kepimpinan,” tegas beliau.

Himpunan yang disifatkan beliau seumpama himpunan di Padang Arafah dengan semua pesertanya memakai serba putih itu juga diyakini beliau bakal menggegarkan bumi Allah ini dengan syariat Islam. – HARAKAHDAILY 20/2/2020