Usul Percaya mencetuskan kestabilan negara

SUASANA politik dalam negara menjadi semakin tidak menentu ekoran munculnya pelbagai spekulasi berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir Mohamad ke Anwar Ibrahim.

Ada pihak begitu ghairah mahu mendesak agar peralihan kuasa yang kononnya dijanjikan sesama parti dan pimpinan Pakatan Harapan itu wajib direalisasikan seawal bulan Mei 2020 ini iaitu genap 2 tahun Tun sebagai PM.

Dalam keadaan negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi suku keempat pada kadar cuma 3.6 peratus iaitu pencapaian paling buruk sejak suku ketiga 2009, masih ada pihak yang tergila mendesak peralihan kuasa dilakukan segera sedangkan kita sepatutnya fokus kepada pemulihan ekonomi dan langkah-langkah memperbaiki dan menambah baik kehidupan rakyat.

Apakah kelebihan dan kelayakan serta keistimewaan peribadi yang ada pada Anwar Ibrahim, sehingga perlu didesak supaya beliau diberikan jawatan Perdana Menteri menggantikan Tun di saat kritikal ini?

Advertisement

Jika sekadar mahu memenuhi agenda dan cita-cita peribadi Anwar sendiri serta suku-sakatnya dalam PKR, DAP dan PAN yang kemaruk dan gilakan kuasa itu, maka jelaslah kepentingan rakyat dan negara mahu diperjudikan melalui peralihan kuasa ini demi melepaskan nafsu politik pihak-pihak tertentu semata-mata.

Kerana itu sepatutnya yang lebih penting dan utama di saat ini adalah mengambil langkah-langkah mententeramkan suasana dan menstabilkan keadaan politik dan ekonomi agar tidak semakin teruk nasib dan masa depan rakyat dan negara. Kestabilan dijangka mampu menarik kembali minat para pelabur dan usahawan untuk kembali yakin pada pasaran kita dan terus menyokongnya sehingga membawa kembali kesejahteraan buat semua.

Justeru PAS mengambil inisiatif mengenepikan kepentingan dan kedudukan politik dan mengutamakan kepentingan negara apabila bercadang untuk membawa Usul Percaya kepada Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat bermula bulan Mac ini.


Memang usul seumpama ini tidak pernah dibawa oleh mana-mana parti pembangkang pun sebelum ini, tetapi ianya tidak bertentangan dengan mana-mana peraturan atau amalan lalu biarlah PAS mencatat sejarah sebagai parti pembangkang yang pertama membawanya.

PAS sesungguhnya terpanggil membawa usul ini kerana pihak parti kerajaan kelihatan tidak berminat, malah realitinya mereka lebih tergiur mahu menyingkirkan Tun.

Sejujurnya PAS menaruh keyakinan kepada Tun dan sedar bahawa kemampuan seorang Perdana Menteri itu tertakluk kepada tempoh masa yang diberikan kepadanya untuk melaksanakan pelan dan programnya. 2 tahun adalah tempoh yang terlalu singkat sedangkan rakyat memberikan mandat 5 tahun.

Usul PAS ini kelak diharapkan disokong majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat, khasnya dari PH sendiri dan dengan itu Tun akan diberikan kepercayaan dan kebebasan menjalankan pentadbirannya sebagai PM untuk apa sahaja tempoh yang beliau selesa dan berpuas hati. Tidaklah ia terikat untuk melepaskan jawatan atas desakan mana-mana pihak.

Masalahnya hari ini kita melihat desakan menyingkirkan Tun dan menaikkan Anwar terlalu kuat dan jika desakan ini berjaya ia sudah pasti bakal mencetuskan ketegangan dan menggelapkan masa depan negara.

Anwar sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa beliau adalah bakal PM ke-8 dan bahawa Tun harus bersedia untuk melepaskan jawatannya dan menyerahkan kuasa kepada beliau selewat-lewatnya selepas Persidangan APEC.

Anwar mahu bersandiwara di mata rakyat bahawa kononnya beliau tidaklah seghairah mana mahu mendesak jawatan PM itu dari Tun dan bersedia menunggu Tun melepaskannya secara terhormat, tetapi realitinya kuncu-kuncu beliau termasuklah isteri dan orang-orang kuatnya mengenakan pelbagai tekanan dan tuntutan secara terbuka. Mereka punya agenda lain dan mahukan Tun keluar. Ini sudah pasti tidak sihat buat negara.

Terbaru dalam suatu majlis forum seorang pemimpin PKR malah memberi amaran kiranya Tun enggan menyerahkan kuasa sebagaimana dituntut puak-puak Anwar, maka mereka punya ‘Pelan B’ dan malah bersedia melibatkan orang awam untuk memberikan tekanan dan desakan pada Tun agar segera menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Kegilaan menuntut kuasa, seumpama ini kelihatan mula membuka pintu pagar pada langkah-langkah biadab dan mengancam ketenteraman serta kestabilan negara. Adakah ‘Pelan B’ yang dimaksudkan itu termasuklah berarak dan membuat tuntutan di jalanan sebagaimana di zaman ‘Reformasi’ dahulu?

Pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang malah pergi lebih jauh lagi dalam menyumbang kepada tuntutan ini apabila beliau memberi amaran bahawa usaha PAS ini kononnya membawa kepada kerajaan ‘pintu belakang’, dan jika dibiarkan bakal melahirkan sebuah kerajaan baru didominasi satu kaum yang kononnya tidak baik buat rakyat dan negara.

Sesungguhnya kecelaruan yang bangkit ini sebenarnya kerana kelompok Anwar dan DAP nampak yang cita-cita dan agenda mereka pasti terbantut selagi Tun kekal sebagai PM.

Anwar dengan impian peribadinya kemaruk mahu ditabal sebagai PM ke-8 manakala DAP dengan gagasan negara Sekular dan _’Malaysian Malaysia’-nya, kedua-duanya tidak dapat bernyawa selagi kerusi PM milik Tun.

Kerana itu bagi mereka masanya sudah tiba untuk memaksa Tun keluar dan jika enggan mereka akan mengenakan pelbagai tindakan termasuklah memobilisasikan orang awam yang sudah tentu bakal menghuru-harakan kehidupan rakyat dan negara.

Ternyata kita dapat melihat bahawa suasana yang tidak menentu ini kuat dicetuskan oleh kehendak peribadi Anwar dan desakan serta kemahuan DAP sendiri.

Oleh yang demikianlah maka PAS mengambil langkah berani, mengutamakan kepentingan nasional dengan mahukan suatu muafakat di kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat agar tumpuan diberikan kepada kestabilan dan keamanan negara. Waktu ini tidak sesuai untuk menyaksikan sebarang peralihan kuasa apatah lagi dari Tun ke Anwar. Biarlah Tun kekal sebagai PM, dan pengekalan beliau sebagai PM itu disokong dan diiktiraf semua wakil rakyat tanpa apa-apa kepentingan

Jika ini berlaku semoga kembali stabil negara kita sebagaimana diimpikan, akan tetapi jika atas apa sebab sekalipun permuafakatan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh membentuk sebuah kerajaan baru tanpa mereka yang rakus dan ekstrem seumpama kelompok Anwar, DAP dan PAN, sudah pasti rakyat khususnya orang-orang Melayu Islam akan memberikan sokongan dan PAS sendiri dijangka tidak akan melepaskan peluang.

Yang pasti kedudukan Agama Islam dan keistimewaan orang-orang Melayu mesti terus dibela begitu juga hak dan kepentingan semua kaum dan agama.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/2/2020