Julung kali Kelantan tuan rumah SUKMA

KOTA BHARU: Satu sejarah tercatat apabila Kelantan diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang akan diadakan pada 2024.

Pengumuman itu dibuat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 di Putrajaya semalam.

Sedangkan sejak 1990 sehingga sekarang Kelantan tidak pernah ditawar sebagai penganjur SUKMA.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri melahirkan kesyukuran dan merakam ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di atas penghormatan itu.

Katanya, menteri memberi laluan kepada Kelantan dengan mengotakan janjinya pada pertemuan dengan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika berkunjung ke Kelantan 17 Februari lepas.

“Ini kali pertama Kelantan menjadi tuan rumah dan kita menyambut baik hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk membina prasarana sukan di sini,” katanya di sini.- HARAKAHDAILY 21/2/2020