Kerajaan wajib jamin sukuk UJSB-Tabung Haji

SAYA meneliti laporan penjualan aset Tabung Haji kepada SPV Kementerian Kewangan (Urusharta Jamaah Sdn Bhd – UJSB) melalui kaedah penerbitan sukuk bernilai RM19.6 bilion dan akan mencapai nilai RM27.56 bilion apabila sampai tempoh matang.

Advertisement

Walaupun secara kasarnya penjualan ini memberikan keuntungan kepada Tabung Haji, namun apa yang meragukan adalah apabila sukuk ini tiada jaminan daripada pihak kerajaan

Dari segi standard pengauditan, apabila sesuatu sukuk itu tidak dijamin oleh syarikat induk (dalam hal ini Kementerian Kewangan adalah ‘induk’ kepada UJSB), maka nilainya sukar untuk ditentukan.

Ini akan memberi masalah kepada Tabung Haji apabila tiba tempoh untuk menebus sukuk-sukuk tersebut kelak

Secara asasnya, Tabung Haji sebenarnya mengambil risiko yang sangat tinggi apabila melepaskan aset-aset berharga umat kepada sebuah syarikat lain tanpa sebarang jaminan daripada pihak kerajaan.

Oleh itu saya menggesa agar segala sukuk yang telah diterbitkan oleh UJSB ini dijamin oleh kerajaan agar kepentingan institusi Tabung Haji dan umat Islam terpelihara

Menjalankan transaksi atas dasar baik sangka bukanlah suatu amalan korporat yang baik melainkan jika ia diikat dengan satu perjanjian dan jaminan daripada pihak yang lebih berautoriti

Menteri Agama sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas pemeliharaan kepentingan Tabung Haji sewajarnya menjadikan isu jaminan ini sebagai keutamaan teratas.

Kegagalan Menteri menyelesaikan isu ini dalam keadaan yang menguntungkan institusi Tabung Haji hanya akan menunjukkan ketidak kompetenan beliau sebagai anggota kabinet.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB Ahmad Amzad bin Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
HARAKAHDAILY 21/2/2020