LTTE: Gesa penjelasan Peguam Negara henti prosiding

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomes memberi penjelasan berhubung keputusannya memberhentikan prosiding terhadap 12 orang warga tempatan termasuk pemimpin DAP yang dituduh menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketuanya Shahir Adnan berkata pihaknya amat kesal dengan keputusan itu berikutan kesemua mereka dibebaskan tanpa perbicaraan.

Walhal katanya, penangkapan mereka telah melibatkan masa, tenaga dan keringat anggota polis yang sememangnya amat cekap menjalankan risikan pencegahan pengganas.

“Alasan Peguam Negara untuk memberhentikan prosiding tersebut dilihat amat daif dan lemah memandangkan kes tersebut telah berjalan selama 4 bulan.

“Persoalannya, mengapa baru sekarang prosiding ini digugurkan? Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa penjelasan diberikan oleh pihak Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Advertisement

Jabatan Peguam Negara hari ini, memutuskan untuk memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki berkenaan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Menurut Tan Sri Tommy Thomes, keputusan tersebut dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap mana-mana pertuduhan yang sedang dihadapi oleh tertuduh.

Keputusan itu katanya dibuat mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya kuasa budi bicara dibuat selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Mengulas lanjut, Shahir berkata semenjak Peguam Negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), banyak kes yang melibatkan pemimpin parti itu digugurkan.

“Satu persatu kes melibatkan pemimpin Pakatan Harapan digugurkan sejak Peguam Negara di zaman Pakatan Harapan memegang kuasa.

“Adakah ini satu kebetulan atau pendakwaan terpilih? Penjelasan harus diberikan. Kita nantikan keputusan prosiding kes rogol di Perak pula yang melibatkan Exco DAP negeri,” ujarnya.

Berikutan itu, kata beliau pihaknya menggesa ketiga-tiga bidang kuasa di negara ini, badan eksekutif, perundangan dan kehakiman tidak berkompromi isu berkaitan pengganas kerana ia bakal menghancurkan negara.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran. – HARAKAHDAILY 21/2/2020