Masalah nelayan air tawar dapat perhatian YB PAS

SIK: PAS komited untuk mengangkat permasalahan nelayan air tawar ke perhatian dan tindakan oleh pihak berwajib dengan menyuarakan isu golongan tersebut ke Sidang DUN dan Parlimen.

Advertisement

Pembelaan tersebut diikrarkan bersama oleh Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman serta ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria dan ADUN Belantik, Ustaz Md Isa Shafie.

Menurut Ustaz Tarmizi, ketika nasib nelayan perikanan laut tidak mendapat perhatian sewajarnya, para nelayan air tawar pula seakan langsung diabaikan, walhal terdapat enam agensi boleh membantu golongan itu.

Lebih mengharukan katanya, nelayan di negara ini antara kelompok termiskin yang sama sekali berbeza dengan golongan sama di negara lain di mana hingga ada hidup kaya raya atas hasil perikanan.

“Ada Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Hutan, KEDA, Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Daerah Sik, selain juga Angkatan Tentera Malaysia. Tetapi masalah dihadapi (nelayan air tawar) tidak selesai.

“Kerajaan perku ada agenda diletakkan untuk mereka (para nelayan) dengan polisi untuk selesaikan isu-isu berbangkit,” ujarnya ketika Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sumbangan di Pengkalan Gubir, Ulu Muda, di sini awal minggu ini.

Beliau mahu peraturan berkaitan yang dibuat dan dikuatkuasakan agar mempertimbang dan mengambilkira kepentingan para nelayan untuk mencari rezeki selaku penduduk tempatan yang hidup di situ.

Jelas beliau, para penduduk yang telah bermastautin lebih 3 generasi sejak dari Empangan Muda dibina tahun 1964 dan disiapkan 5 tahun setelahnya, termasuk mana-mana pihak juga tidak harus dirugikan.

Antara perlu diberi perhatian adalah pemutihan lesen nelayan dan sewajarnya para nelayan tempatan yang sememangnya aktif mencari rezeki di tasik tersebut diberi lesen sebagai nelayan.

Beliau juga menggesa pihak berwajib memastikan usaha menarik kunjungan ramai untuk aktiviti eko-pelancongan ke kawasan tersebut berada dalam kawalan dan imbangan sewajarnya agar tidak menjejas sumber dan hidup penduduk.

Program anjuran bersama Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan (LPP) PAS Pusat dan Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Negeri Kedah ini turut dihadiri Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jariangan Nelayan Pantai Malaysia (JARING).

Mejar (B) Mansor yang juga Pengerusi LATAS PAS Kedah berjanji membawa isu berkaitan kuasa negeri ke perhatian pihak berkenaan, manakala Ustaz Md Isa menggesa isu nelayan tersebut ditangani sewajarnya.

Beliau meluahkan kesal kerana isu berkaitan yang pernah dibangkitkan di Sidang DUN Kedah dan diberi kelonggaran oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir bagaimanapun berlaku sebaliknya.

Maklumnya, empat nelayan masih berdepan kes mahkamah hanya kerana isu permit dan berdepan kemungkinan denda sehingga RM10,000 atau penjara 10 tahun, sedangkan mereka bukan menangkap gajah atau mengeluarkan balak.

Jelasnya juga, ramai penduduk di situ yang berhadapan keadaan menyedihkan apabila selama hampir dua bulan tidak dapat menoreh getah disebabkan pelbagai faktor, tetapi tiada pihak bertimbang rasa terhadap nasib tersebut.

“Ketidakmampuan yang dihadapi nelayan di sini menyebabkan mereka menangkap ikan untuk mencari keperluan hidup yang masih jauh dari keselesaan,” ujarnya sebak mengenang hal tersebut.

Sementara itu, wakil nelayan, Mohd Fhaisal Yaakob berkata, para nelayan di situ merasa tersisih dari pihak bertanggungjawab, sedangkan pihak luar yang datang berekreasi di situ dilayan sebaiknya.

Beliau menggesa supaya kawalan oleh pihak berwajib di situ diadakan selama 24 jam sehari, kerana ketika ini berlaku banyak pelanggaran undang-undang oleh orang luar yang datang beraktiviti di situ.

Antara diadukan beliau adalah berkenaan kemasukan bot haram dan bot sewa penduduk yang terjejas, selain penyewa masuk ke semua kawasan secara bebas di mana sepatutnya perlu dihadkan untuk keselamatan.

Rakannya, Wan Ghazali Wan Osman membangkitkan isu kedatangan mereka yang memburu di dalam hutan, selain kegiatan memancing oleh pihak luar di mana menggunakan bahan terlarang seperti bom ikan dan pukat tarik tidak dibenarkan.

Manakala Mohd Shukri Zainol Abidin yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Kota Aur (PAKA) mencadangkan diwujudkan kawalan keselamatan dan pemantauan secara teratur terhadap kegiatan di situ.

Omar Abdul Hamid pula mengutarakan supaya mereka juga menikmati subsidi dan bantuan selayaknya sebagaimana diperolehi nelayan laut, selain meminta diwujudkan koperasi barangan perikanan.

Turut berbangkit adalah isu supaya dipertegaskan untuk hutan sekitar Ulu Muda tersebut diharamkan dari kegiatan pembalakan demi menjaganya sebagai kawasan tadahan air kepada Empangan Ulu Muda.

Kerana kerosakan kepada tadahan air memberi kesan kepada paras air ke dalam Empangan Muda, sekali gus menjejaskan bekalan air ke banyak kawasan dalam negeri ini termasuk Pulau Pinang.

Hadir sama adalah Pengerusi LPP Muslimat PAS Malaysia, Kintan Man dan Pengerusi LPP PAS Negeri Perak, Rosli Abd Rahman serta wakil-wakil Kariah Masjid Haji Md Desa Bukit Mertajam. – HARAKAHDAILY 21/2/2020