mySalam: Kerajaan sepatutnya turun padang

SKIM perlindungan masyarakat, mySalam sewajarnya diperluaskan kesedaran dan maklumat kepada seluruh rakyat di negara ini dengan kepelbagaian medium yang fleksibel, mudah dan mesra rakyat. Hebahan dan pendaftaran yang dibuat bukan sahaja terhad menggunakan kaedah digital semata-mata tetapi perlu ditingkatkan melalui program atau aktiviti turun padang.

Advertisement

Program turun padang (PTP) yang dimaksudkan adalah sebarang aktiviti yang lebih dekat dan mesra kepada rakyat terutama penduduk luar bandar yang tinggal di kawasan terpencil dan pedalaman serta golongan yang belum celik IT agar mereka mudah mendapat maklumat dan proses pendaftaran. PTP ini bukan sahaja dikendalikan oleh pasukan mySalam sahaja tetapi pihak Kerajaan atau wakil rakyat juga perlu turun padang dan memainkan peranan dengan lebih proaktif.

Selain cadangan Kerajaan menubuhkan kiosk-kiosk mySalam di 150 hospital Kerajaan di seluruh Malaysia sebelum akhir tahun 2020. Dalam meningkatkan sebarang maklumat, kesedaran dan proses tuntutan, Kerajaan sewajarnya memperluaskan kiosk-kiosk di klinik kesihatan desa dan komuniti seluruh negara.

Pada masa yang sama, kaunter mySalam juga boleh diwujudkan di kawasan tumpuan rakyat seperti masjid, pasar raya serta program-program keramaian sesuatu kawasan. Perkara ini dilihat  sangat membantu golongan B40 untuk berdaftar mySalam yang merupakan satu inisiatif yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban derita mereka.

Namun begitu, sistem pelaksanaan mySalam ini perlu sistematik, cekap dan tidak menyusahkan rakyat dengan kerenah birokrasi. Selain pemohon mySalam mengutarakan persoalan dan masalah yang dihadapi oleh mereka berkaitan dokumen pendaftaran melalui email dan panggilan ke talian, adalah sesuatu perkara yang baik seandainya pasukan mySalam menjalinkan kerjasama antara pihak Pusat Khidmat Masyarakat sesebuah kawasan dengan memainkan peranan sebaik mungkin untuk membantu golongan yang memerlukan.

Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bersabda:
“Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan mempermudahkannya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hambaNya selama hambaNya itu suka menolong saudaranya.”
(HR. Muslim)

Kesimpulannya, Kerajaan digesa untuk turun padang bagi memastikan program yang dilaksanakan benar-benar diagihkan kepada rakyat terutama golongan B40 yang memerlukannya. Malah, PTP juga perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa secara efektif dan memberi keutamaan kepada golongan B40 agar mereka tidak tersisih dan teraniaya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 21/2/2020