Tukar k’jaan tanpa pilihan raya boleh berlaku – Peguam

KUALA LUMPUR: Pertukaran kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya merupakan sesuatu yang tidak mustahil, kata Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud.

Jelasnya, demokrasi tidak hanya membenarkan proses pertukaran kerajaan melalui pilihan raya, bahkan, pertukaran kerajaan boleh berlaku sekiranya Perdana Menteri merombak kabinet sedia ada.

Advertisement

“Saya rasa memang boleh berlaku dan macam dalam konteks sekarang, kalau kita nak ukur dengan apa yang kita dengar di luar sana, khabar-khabar angin itu bukan nak menukar kerajaan, (namun) khabar-khabar angin itu ialah untuk mengekalkan Perdana Menteri yang ada, jadi dia tidak mengubah kerajaan.

“Perdana Menteri, apabila dia membuat political re-allignment ataupun dia adjust semula komponen parti yang memberi sumbangan kepada pengaruh majoriti di Dewan Rakyat, Perdana Menteri mempunyai prerogative untuk merombak kabinet.

“Ada menteri yang dia boleh gugur, ada menteri yang dia boleh lantik baru berdasarkan kepentingan parti-parti baru yang menyokong pentadbirannya.

“Jadi dalam konteks sekarang, ya! Dia boleh berlaku,” jelasnya ketika dalam satu sesi wawancara bersama Harakah pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut, menurut Wan Rohimi, sekiranya berlaku pertukaran kerajaan dalam negara melalui proses tersebut, ia merupakan satu proses yang sah dari sisi undang-undang berperlembagaan.

Katanya hal ini kerana, rombakan kabinet tidak memerlukan Perdana Menteri yang baharu dan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki Perdana Menteri.

“Ia hanya melibatkan rombakan kabinet, tidak perlu Perdana Menteri baru, jadi rombakan kabinet pun bila-bila masa sahaja Perdana Menteri boleh nasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk drop menteri yang tidak disukai.

“Namun ia bukan istilah ‘penukaran kerajaan’, (istilahnya) adjustment politic, itu di luar daripada kerajaan atau dipanggil cabinet reshuffle, rombakan kabinet, teras kepada kerajaan baharu itu adalah rombakan kabinet, bukan kerajaan baharu,” katanya.

Isu pertukaran kerajaan timbul apabila ada pihak tertentu yang mengasak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatannya kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Melihat kepada agenda pihak tertentu yang semakin mendesak Tun Dr Mahathir, PAS mengambil langkah bijak dengan mencadangkan Usul Undi Percaya dibentang di Parlimen untuk memastikan desakan tersebut mencapai titik noktah.

Pengarang – Ikuti wawancara penuh dalam Harakah keluaran Isnin di pasaran Bilangan 2526 HARAKAHDAILY 21/2/2020