Bebaskan LTTE: Pecat Tommy Thomas

PAS mengikuti dengan rapat pengguguran kes ke atas 12 individu, termasuk 2 ADUN DAP, yang dituduh menyokong LTTE sebelum ini oleh Peguam Negara.

Advertisement

Justifikasi yang digunakan oleh Peguam Negara dalam membuat keputusan ini adalah bertentangan dengan pengumuman Polis Di-Raja Malaysia, yang disokong oleh Menteri Dalam Negeri sendiri, bahawa mereka mempunyai bukti kukuh untuk menahan 12 individu terbabit.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama Peguam Negara menggugurkan kes melibatkan individu-individu dalam kerajaan dan PH. Insiden lain termasuklah kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo yang digugurkan pada 3 September 2018, kes fitnah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkenaan fitnah terhadap Tabung Haji yang digugurkan pada 27 Februari 2019, kes hasutan Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim, berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor yang telah digugurkan pada 26 Julai 2018 dan banyak kes-kes lain.

Pengguguran kes-kes melibatkan individu-individu dalam kerajaan dan PH ini sekaligus menimbulkan keraguan terhadap integriti Peguam Negara kerana ia memberikan gambaran bahawa Peguam Negara bersikap berpilih dalam membuat pendakwaan.

Pengguguran kes ke atas 12 tertuduh LTTE ini amat perlu dipandang berat kerana ia boleh membawa ancaman besar kepada keselamatan dan keamanan negara. Pembebasan 12 tertuduh LTTE ini juga akan menyebabkan pesalah-pesalah lain yang didakwa dan ditahan di bawah SOSMA di atas kesalahan serupa menuntut pembebasan mereka. Akan kita lihat selepas ini rakyat Malaysia tidak ragu-ragu lagi menyatakan sokongan terbuka mereka kepada tokoh-tokoh pengganas kerana ia dikira bukan lagi kesalahan oleh Peguam Negara. Penegasan Peguam Negara bahawa kes-kes keganasan hanya boleh didakwa jika ia melibatkan ancaman keganasan sebenar akan menjadikan sukar untuk pihak polis menghalang keganasan dari berlaku.

Sehubungan dengan itu, kami dengan tegas menuntut supaya:
(1)    Peguam Negara membatalkan arahan pengguguran kes ke atas 12 tertuduh LTTE atau berhadapan dengan cabaran di mahkamah.
(2)    Tan Sri Tommy Thomas dipecat daripada jawatan beliau sebagai Peguam Negara kerana menyalahgunakan kuasa beliau.
(3)    Tindakan segera diambil oleh kerajaan untuk membataskan kuasa mutlak yang dipunyai oleh Peguam Negara.

Jika tuntutan kami tidak dipenuhi, kami akan menggerakkan himpunan rakyat secara besar-besaran bagi menuntut pembersihan dan pemurnian institusi Peguam Negara.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Muafakat Nasional Membina Malaysia Sejahtera”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
22 Februari 2020 | 27 Jamadilakhir 1441 – HARAKAHDAILY 22/2/2020