Hakikat hidup ‘disebalik’ kemiskinan rakyat

Hakikat hidup di sebalik kemiskinan rakyat

DI SEBALIK pelbagai paparan kisah kemiskinan masyarakat yang ada di hadapan kita, terdapat pelbagai lagi kaitan kisah yang saling bersangkutan.

Antaranya, suami atau ayah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pengabaian kanak-kanak, suami keluar masuk penjara, perkahwinan tidak didaftarkan, anak-anak tak ada sebarang dokumen pengenalan diri, keciciran pendidikan, sumbang mahram dan beberapa lagi isu yang sangat menyedihkan di sebalik rumah buruk yang kita lihat. Setiap isu perlu ditangani dengan bijaksana.

Anak-anak antara yang paling ramai menjadi mangsa. Ada kes Bantuan Kanak-kanak di bawah JKM terpaksa disalurkan melalui pihak sekolah kerana jika disalurkan melalui akaun ayah, akan habis buat beli barang! Salur melalui akaun mak, maka mak pula akan jadi mangsa kena pukul andai duit tak diberi. Malah ada ayah yang tahu duit bantuan anaknya disalurkan melalui sekolah, pergi ke sekolah marahkan cikgu minta duit.

Advertisement

Ada keluarga yang kita pergi ziarah, tengok masih masak guna dapur kayu. Kita minta Tok Ngulu tolong pergi beli dapur gas. Selang dua bulan, bila kita ulang ziarah, dapur gas dah ghaib. Tok Laki jual buat beli barang!

Ada keluarga yang kita tak boleh nak hulur bantuan dalam bentuk wang tunai. Kalau bagi duit tunai, jawabnya dapur tetap tak berasap. Duit habis buat beli barang!

Ada keluarga, bila kita tengok keadaan rumah sangat menyedihkan. Anak ke sekolah dalam keadaan tak terurus. Suami atau ayah ada sihat walafiat. Tapi duduk tidur bangun saja. Malas kerja.

Isu kebajikan rakyat bukannya straight forward sebagaimana sifir dua kali dua jawabnya 4. Di sebalik satu masalah, ada masalah lain yang berantaian. Ia memerlukan beberapa formula dan kaedah untuk ditangani sebelum boleh sampai kepada kesimpulan jawapan.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 22/2/2020