Segerakan prosiding lucut warganegara bekas ADUN Pujut

BUKAN seorang Hakim Mahkamah Persekutuan, tetapi tujuh orang, iaitu YAA Dato’ Rohana binti Yusuf (Presiden Mahkamah Rayuan), YA Datuk Seri Haji Mohd. Zawawi bin Salleh, YA Dato’ Abdul Rahman bin Sebli, YA Datuk Ong Lam Kiat Vernon, YA Datuk Nallini Pathmanathan, YA Dato’ Zabariah binti Mohd. Yusof dan YA Datuk Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim (Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan) yang memutuskan di dalam keputusan penghakiman mereka pada 11 Februari 2020 bahawa:

Advertisement

(i) “Dengan mendapatkan secara sukarela kewarganegaraan Australia, memberikan ketaatsetiaan kepada Australia dan menjalankan hak-hak seorang warganegara Australia, ketaatsetiaan Dr Ting Tiong Choon kepada Malaysia boleh dipersoalkan.” (“By voluntarily acquiring Australian citizenship, pledging loyalty to Australia and exercising the rights of an Australian citizen, Dr Ting Tiong Choon’s loyalty to Malaysia is questionable.”)

(ii) “Dengan mendapatkan kewarganegaraan Australia, Dr Ting Tiong Choon boleh dan masih boleh dilucutkan kewarganegaraan Malaysia beliau di bawah Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan.” (“Dr Ting Tiong Choon by having acquired the citizenship of Australia was and still is liable to be deprived of his Malaysian citizenship under Article 24(1) of the Federal Constitution.”)

Di sebalik penegasan tujuh orang Hakim Mahkamah Persekutuan ini bahawa “ketaatsetiaan Dr Ting Tiong Choon kepada Malaysia boleh dipersoalkan” dan “Dr Ting Tiong Choon boleh dan masih boleh dilucutkan kewarganegaraan Malaysia beliau”, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang juga adalah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sebaliknya mengangkat bekas ADUN DAP Pujut ini dengan melantik beliau sebagai Setiausaha Politik. Inilah sebenarnya tahap keangkuhan DAP kepada undang-undang negara.

Tujuh orang Hakim Mahkamah Persekutuan ini juga menegaskan bahawa:

“Perlucutan kewarganegaraan adalah satu gambaran betapa seriusnya Perlembagaan Persekutuan melihat perbuatan itu. Matlamatnya adalah untuk menghalang seseorang warganegara dari mendapatkan dan melepaskan kewarganegaraan asing sesuka hati.” (“The deprivation of citizenship is a reflection of how seriously the Federal Constitution views the act. The object is to prevent a citizen from acquiring and denouncing his foreign citizenship at will.”)

Selaras dengan penegasan tujuh orang Hakim Mahkamah Persekutuan ini bahawa perlucutan kewarganegaraan ke atas warganegara Malaysia yang sedang atau pernah memiliki kewarganegaraan asing adalah satu gambaran betapa seriusnya Perlembagaan Persekutuan melihat perbuatan itu, maka Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri sewajarnya bertindak segera memulakan prosiding bagi melucutkan kewarganegaraan Dr Ting Tiong Choon.

Sebarang kelengahan di pihak Kementerian Dalam Negeri hanya akan memberikan gambaran bahawa kerajaan tidak meletakkan Perlembagaan Persekutuan pada tempat yang sepatutnya semata-mata kerana bekas ADUN DAP Pujut ini adalah ahli parti gabungan pemerintah.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 22/2/2020