Menanti taubat penyokong PH

Menanti taubat penyokong PH

MUNGKIN ada yang baru tersedar

(1) Hari ini saya secara peribadi melihat beberapa orang dalam IKRAM atau PAN, atau beberapa individu yang dilihat cenderung PH sebelum ini, mula tersedar dengan permainan politik PH.

Mungkin antara contohnya UZAR yang hari ini dilihat tidak mahu berbicara bab Tabung Haji lagi. Bukan sekadar itu, MAZA pun sama juga. Asalnya beliau dilihat menyokong Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Tetapi hari ini mengeluarkan status baru nya yang seolah-olah baru tersedar. Baguslah kalau dah tersedar, tetapi kerosakan yang disebabkan tangan mereka itu masih merebak.

(2) Nik Omar apa khabar? Tak tahu apa pula status terbarunya. Semua orang tahu kempennya sebelum ini. Hari ini ‘nikmati’lah kesan buruk kempennya itu.

Kita faham, semua manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Mereka kadang-kadang menyuarakan ‘kami profesional, bukan politikus’.

Walhal mereka sendiri sarat dengan politik yang seakan-akan bermaksud bermuka-muka atau helah. Saya yakin, mereka faham apa yang saya maksudkan.

Advertisement

(3) Mereka menyangka dunia politik itu cuma ‘surface’ sahaja. Hakikatnya mereka tak perasan bahawa langit itu tinggi dan laut itu dalam. Penuh dengan jerung-jerungnya.

Mereka tak mampu memikul ‘beban’ kemenangan bersama kawan-kawan PH yang lain. Mungkin Maszlee dan Mujahid baru ‘mengerti’ realiti diperkuda.

Bimbang muflis di akhirat

(1) Biarkanlah masa yang lepas itu berlalu pergi. Dalam isu Tabung Haji, kelihatan ia terbeban pada Mujahid. Tak tahulah sampai bila situasi ini akan berterusan.

Cumanya apa yang menjadi persoalan ialah, sekiranya mereka ‘bertaubat’ dan meminta ampun di atas kesilapan yang lalu, sejauh mana rakyat Malaysia berlapang dada untuk maafkan mereka?

(2) Secara peribadi, sekiranya mereka ingin bertaubat, mereka perlu isytihar penentangan mereka terhadap ‘kemungkaran’ yang dilakukan oleh PH.

Sekiranya tidak mahu bertaubat, maka teruskanlah menanggung biawak-biawak hidup di dalam sangkar politik itu. Nanti di akhirat, jawablah depan Allah S.W.T;

أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ، فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ – رواه مسلم

“Dari Abu Hurairah R.A berkata, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Tahukah kalian siapakah orang yang muflis (bankrupt) itu?”

“Para Sahabat menjawab: “Orang yang muflis (bankrupt) di antara kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan tidak punyai harta.”

“Rasulullah S.A.W bersabda; “Orang yang muflis (bankrupt) dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) mendirikan solat, menjalankan puasa dan menunaikan zakat, namun ia juga datang (membawa dosa) dengan mencela si ini, menuduh si ini, memakan harta ini dan menumpahkan darah si ini serta memukul si ini. Maka akan diberikan kepada mangsa-mangsa tersebut daripada pahala-pahala amalan orang tadi. Dan jika kebaikannya telah habis sebelum ia melangsaikan kewajipannya, diambil pula keburukan dosa-dosa mangsa-mangsa itu, lalu dicampakkan kepada orang tadi dan ia dilemparkan ke dalam neraka.”

(Shahih Muslim)

*Dosa yang belum berhenti mengalir

(1) Bagaimana pula dengan pengundi-pengundi PH yang bersorak gembira tatkala mendengar keputusan PRU14? Hari ini mereka dilihat agak malu untuk mengaku penyokong PH.

Ada kedengaran berita-berita yang tak popular, terdapatnya ahli PAN yang sudah mula menyarung baju Bersatu. WaLlahuaklam sejauh mana kebenarannya.

(2) Apakah mereka masih merasa tenteram sekalipun dosa menyokong kezaliman itu masih berjalan setiap saat? Disebabkan tangan-tangan mereka, kezaliman berleluasa.

Penjahat-penjahat digugurkan kes, dan tidak dibicarakan di mahkamah. Seolah-olah menghala ke arah menormalisasi sesuatu jenayah, akibat ‘asobiyyah’ politikus.

(3) Adakah pengundi-pengundi PH boleh duduk selesa dan berlepas tangan terhadap perbuatan mereka yang memenangkan orang-orang yang zalim?

Nabi S.A.W bersabda;

مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ – رواه مسلم

“Barang siapa yang dalam Islam melakukan suatu sunnah (perbuatan) yang baik, kemudian diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka ia mendapatkan kebaikannya dan kebaikan (pahala) daripada orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Dan barang siapa yang dalam Islam melakukan satu sunnah (perbuatan) yang buruk, kemudian diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka ia mendapatkan dosanya dan dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.”

(Shahih Muslim)

Menguntungkan musuh

(1) Apa yang terjadi pada hari ini sebenarnya boleh dijangkakan seawal sebelum PRU14 lagi, sekiranya kita benar-benar mengenali musuh yang sedang dihadapi.

Tetapi Umat Islam ketika itu masih mabuk untuk menjatuhkan ‘harimau’ tanpa memikirkan ‘mulut buaya’ yang ternganga luas menunggu makanan untuk dibaham.

(2) Tetapi masing-masing tidak mahu mengambil pengajaran. Apabila ada orang Islam yang sanggup menjadi khadam kepada musuh Islam.

Mereka berusrah, mereka bermesyuarat, mereka mendakwa mereka adalah jamaah, tetapi mereka membantu musuh Islam untuk merealisasikan hasrat untuk merembat hak Umat Islam.

Maqasid Syariah dihidangkan sebagai hujah-hujah untuk dimakan oleh anak-anak muda yang gelojoh lagi jahil. Mereka tidak fikirkan mafsadah yang bakal menimpa Umat Islam.

(3) Yang mereka fikirkan ialah “asalkan dapat kuasa dulu, yang lain boleh adjust kemudian”. Justeru mereka berpakat dengan musuh Islam untuk mendapatkan kuasa tersebut.

Apabila musuh Islam berkuasa, orang-orang ini mula lepas tangan. Mereka mula bertukar hujah kepada “kami tidak terlibat dengan politik”, walhal merekalah yang bantu memenangkan musuh Islam.

‘Tidak mengenali musuh’ perlu digariskan sebagai satu kejahilan yang terutama pada era ini. Kerana disebabkan kejahilan ini, Umat Islam ditipu berkali-kali dan kerap diperkuda.

Belajarlah dari sejarah

(1) Sebelum ini saya pernah menulis artikel yang bertajuk Apabila Umat Islam tak kenal musuh [1]. Menceritakan bahawa para ulamak gerakan Islam telah menulis banyak mengenai keperluan mengenali musuh.

Perkara ini antaranya mendorong Fathi Yakan mengarang buku Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah. Ia dimulai dengan menceritakan mengenai musuh.

(2) Penulisan-penulisan mereka sangat berkait rapat dengan pertentangan ideologi-ideologi musuh yang menjadi ‘kunci’ kepada mengenali musuh-musuh itu.

Ini kerana apabila kita mengenal ideologi mereka, kita tidak akan terjerat dengan perancangan dan strategi halus mereka, insyaAllah. Betapa halusnya perancangan mereka sehingga kadang-kadang tokoh gerakan Islam sendiri ada yang terkandas.

(3) Antaranya tokoh gerakan Islam di Timur Tengah yang masyhur iaitu Syeikh Mustafa al-Siba’ie (1915-1964) pernah menulis sebuah buku berjudul Ishtirakiyyah al-Islam اشتراكية الاسلام (Sosialis Islam).

Tajuk buku tersebut telah ditegur oleh ahli-ahli Gerakan Islam yang lain seperti Sayyid Qutb dan Abul A’la al-Maududi. Sekalipun isinya tiada masalah.

Setelah cetakan kedua buku tersebut, Syeikh Mustafa al-Siba’ie mula melihat kesan buruk istilah yang digunakan oleh beliau. Lalu beliau menyatakan kekesalannya terhadap tajuk bukunya kepada Syeikh Muhammad al-Ghazali

Syeikh Muhammad al Ghazali menukilkan cerita ini di dalam bukunya الدعوة الاسلامية في القرن الحالى. Begitulah betapa seninya serangan ideologi terhadap Umat Islam yang lebih menuntut kepada kita untuk mengkajinya.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3139324782775927&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/2/2020