Pemuda Muafakat Nasional serius isu HSKLU

KUALA LANGAT: Pemuda PAS, Umno dan MIC bagi Parlimen Kuala Langat telah mengumpulkan tandatangan bantahan daripada orang ramai terhadap cadangan pelan pembangunan campuran yang melibatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Advertisement

Pemakluman mengenai projek tersebut sudah tersebar di media sejak awal Februari 2020 dan inisiatif digerakkan entiti Pemuda dari ketiga-tiga parti Muafakat Nasional ini telah diadakan di Dataran Pantai Morib, di sini semalam.

Menyampaikan ucapan sempena acara itu adalah Ketua Penerangan Pemuda Umno Kuala Langat, Ali Hassan dan Ketua Pemuda MIC Kuala Langat N Sritheeran dan Ketua Pemuda PAS Kuala Langat, Ustaz Hanif Jamaluddin.

Ketiga-tiga jurucakap itu mempunyai hasrat yang sama dengan menyatakan bantahan terhadap cadangan menggantikan kawasan HSKLU dengan kawasan hutan yang lain.

Ustaz Hanif turut menyatakan kehairanan dengan usaha baik Kerajaan Negeri Selangor dalam menjayakan kempen ‘Go Green’ namun bertindak untuk meratah HSKLU yang seluas 930 hektar bersamaan 97 peratus hutan simpan itu.

Program itu mendapat sokongan dari masyarakat setempat termasuk yang datang dari luar Kuala Langat di mana bukan sahaja menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, bahkan ia juga menanam sikap cakna terhadap alam sekitar.

Pemuda PAS Kuala Langat akan meneruskan kempen ini bersama Pemuda Muafakat Nasional dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan menghantar petisyen ini kepada Pejabat Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di Shah Alam sebelum 5 Mac. – HARAKAHDAILY 23/2/2020