‘Track record’ Peguam Negara zaman PH merisaukan

'Track record' Peguam Negara zaman PH merisaukan

TANGKAP kerana ada bukti

(1) Hari ini timbul isu apabila Peguam Negara memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 orang yang dituduh menyokong kumpulan pengganas LTTE.

(2) Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis mempunyai bukti sebelum melakukan penahanan terhadap individu-individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas. [1]

Dalam masa yang sama, kes ini melibatkan dua orang ADUN, yang dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November 2018. [1]

Bukan setakat itu, mereka turut memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu. [1]

Advertisement

(3) Pada 13 Oktober 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan di dalam satu sidang media bahawa mereka mengesan transaksi kewangan dalam jumlah besar. [2]

Transaksi ini disyaki digunakan untuk membiayai aktiviti, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program berkaitan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

(4) Sidang media tersebut bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau menyatakan bahawa PDRM mengesan perkara itu susulan tangkapan lima individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE dalam satu operasi khas di beberapa negeri.

Wajar dipersoalkan

(1) Antara yang diutarakan dalam sidang media bersama Datuk Ayob berkaitan transaksi tadi, beliau berkata;

“Pihaknya mendapati transaksi itu melibatkan antara akaun di antara suspek yang ditahan itu, kita tidak pasti duit dari luar masuk ke sini, siasatan masih di peringkat awal,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

(2) Banyak lagi rasanya bukti-bukti yang ada pada pihak polis sehingga membawa kepada penangkapan 12 orang tersebut. Takkanlah polis tangkap orang secara semberono?

(3) Bukanlah bidang saya untuk mempertikaikan sesiapa, tetapi cuma nak nyatakan bahawa di sini kita boleh lihat betapa peliknya undang-undang buatan manusia.

Mahkamah atau apa-apa yang bersangkutan dengannya perlu berada di posisi ‘independent’ dan benar-benar bebas daripada kecenderungan politik.

(4) Tetapi jika dilihat pada track record sepanjang Tommy Thomas menjawat sebagai Peguam Negara, sewajarnya dipersoalkan;

Kes R. Sivarasa, kes Thomas Su Keong Siong, kes Hassan Karim, kes N Surendran, kes Lim Guan Eng, kes Rafizi, dan yang terakhir dua ADUN DAP dalam kes penglibatan dengan LTTE.

Semua ini adalah pertuduhan-pertuduhan kes yang melibatkan pimpinan PH yang digugurkan sejak pelantikan Tommy Thomas pada 4 Jun 2018.

Track record yang merisaukan

(1) Track record Tommy Thomas agak merisaukan. Menggambarkan kecenderungannya terhadap kes-kes yang melibatkan pimpinan PH.

Antara beberapa perkara yang perlu dibincangkan ialah apabila PDRM tangkap berdasarkan bukti, sepatutnya dibicarakan di mahkamah, tetapi Peguam Negara dilihat berkuasa pula untuk menggugurkan kes.

(2) Jika diperhatikan, Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat daripada Perdana Menteri, sepertimana dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi apa yang dilihat hari ini, bimbang apabila kepercayaan terhadap Peguam Negara itu terkikis. Sepatutnya peranannya ialah mengheret pesalah ke muka pengadilan.

Tetapi hari ini seolah-olah bertindak ‘menyelamatkan’ politikus yang tertuduh. Bahkan, yang telah ditangkap oleh PDRM pun, Peguam Negara seolah-olah berkuasa untuk menggugurkan kesnya.

(3) Di dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, menyatakan dengan jelas bahawa Peguam Negara berperanan sebagai penasihat undang-undang.

Peguam Negara diberi kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Kecuali prosiding di hadapan mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera. Maka, dengan klausa inilah yang memberikannya kuasa untuk menghentikan prosiding terhadap 12 orang tadi

Kes pembunuhan Adib

(1) Contoh kredibiliti Peguam Negara yang wajar dipersoalkan ialah kes kematian Adib, ia dijustifikasikan sebagai kes pembunuhan setelah inkues selama 41 hari.

Pembunuhan tersebut berlaku ketika mana rusuhan di Kuil Mariamman pada 26 November 2018. Pembunuhan dilakukan secara beramai-ramai, secara sengaja.

(2) Setelah hampir setahun kejadian, baru dapat keputusan ia ‘adalah kes pembunuhan’. Almarhum datang ke tempat kejadian untuk berkhidmat sebagai seorang bomba, namun dibunuh.

Kenapa tempoh pendakwaan tertangguh terlalu lama? Ia berpunca daripada Peguam Negara, Tommy Thomas yang ‘menyibuk’ dalam siasatan punca kematian Adib.

(3) Pada Mei 2019, pegawai daripada Jabatan Peguam Negara, Hamdan Hamzah telah membuat afidavit dalam mahkamah bahawa kematian Adib bukan disebabkan dipukul oleh mana-mana individu.

Tindakan ini menunjukkan bahawa Peguam Negara seolah-olah menyibuk serta membelakangi mahkamah. Seolah-olah beliau pula yang berkuasa dalam hal ini. [3]

(4) Bahasa mudahnya, dengan penangguhan kes disebabkan Peguam Negara itu seolah-olah telah membuka peluang kepada penjenayah-penjenayah itu untuk bebas.

Hal ini insyaAllah akan diulas dalam artikel lain selepas ini, lebih kepada penyelesaian cara Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan kehakiman dan guaman.

Hilangnya integriti

(1) Islam menggambarkan bagaimana pelantikan individu-individu yang tidak selayaknya, menyebabkan berlakunya kucar-kacir dalam sesebuah institusi kenegaraan. Nabi S.A.W pernah berpesan;

إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة. قال: كيف إضاعتها يا رسول الله؟ قال: إذا أسند الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة

“Apabila tercabulnya amanah, maka tunggulah kiamat. Abu Hurairah R.A bertanya: Bagaimana amanah itu boleh tercabul wahai Rasulullah S.A.W? Baginda menjawab: Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.”

(Shahih Bukhari)

(2) Hadis ini diletakkan oleh Imam Bukhari di dalam Kitab al-Ilm (ilmu). Imam Ibn Hajar al-Asqolani mengulas hal ini;

ومناسبة هذا المتن لكتاب العلم أن إسناد الأمر إلى غير أهله إنما يكون عند غلبة الجهل ورفع العلم، وذلك من جملة الأشراط

“Munasabah hadis ini diletakkan di dalam Kitab Al-Ilm bahawa menyerahkan urusan kepada bukan ahlinya hanya berlaku apabila tersebarnya kejahilan dan hilangnya keilmuan. Ini dari aspek keseluruhan tanda Kiamat”

(3) Di dalam Islam ‘pelantikan orang yang tak layak’ merupakan krisis yang sangat dahsyat, khususnya dalam kemasyarakatan kenegaraan dan sebagainya.

Pelantikan yang tiada kelayakan ini bermaksud ‘amanah’ dalam tugasannya. Malaysia hari ini berhadapan dengan krisis amanah sejak zaman-berzaman, sehingga wujud pula manipulasi orang yang khianat itu dilabel sebagai beramanah.

[1] https://www.sinarharian.com.my/article/51719/BERITA/Nasional/LTTE-Polis-ada-bukti-sebelum-lakukan-tangkapan

[2] https://www.sinarharian.com.my/article/51889/BERITA/Nasional/Polis-kesan-transaksi-kewangan-biayai-aktiviti-rekrut-LTTE

[3] http://www.astroawani.com/berita-malaysia/masuk-campur-kes-adib-pembangkang-desak-ag-letak-jawatan-208873?amp=1

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/2/2020