Tunggu pengumuman Tun Mahathir?

PETALING JAYA: Penantian yang mendebarkan buat rakyat Malaysia hari ini, apakah esok hari kerajaan baharu akan bangkit, itu persoalan yang tidak pasti.

Advertisement

Sejak pagi tadi, media dimaklumkan sebuah mesyuarat khas diadakan di Sheraton Hotel, di sini sejak jam 8.00 pagi.

Mesyuarat tergempar itu dijadualkan bermula pada jam 10 pagi dan tamat pada jam tujuh malam.

Dikhabarkan kelibat kumpulan Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali seperti Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Chegu Bard, Dato’ Kamaruddin Jaafar, dan ramai lagi menghadiri mesyuarat khas ini.

Mesyuarat hari ini seolah memberi gambaran mengenai keputusan kedudukan Azmin dalam PKR.

Dalam pada itu juga, satu himpunan solidariti untuk Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di kediamannya jam lapan malam ini.

Difahamkan juga, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi telah mengadakan mesyuarat khas BERSATU di Yayasan Perdana Menteri di Putrajaya.

Tular di alam maya sejak petang tadi gambar kereta-kereta VIPmemenuhi perkarangan Istana Negara, difahamkan melibatkan semua pemimpin kanan Bersatu termasuk Tun Mahathir.

Muafakat Nasional turut mengadakan mesyuarat tergempar di Putra World Trade Centre (PWTC) sekitar jam empat petang tadi.

Keadaan trafik sekitar sekeliling Hotel Sheraton Petaling Jaya penuh sesak.

Tular maklumat gempar mengenai arahan terkini kepada anggota penguatkuasa Polis yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan sempena sidang media khas hari ini.

Ops tersebut dinamakan Ops Lakar Perdana ditugaskan mengawal keselamatan lokasi sidang media tergempar hari ini di Sheraton Hotel, Petaling Jaya pada jam lapan malam ini.

Didedahkan lokasi taklimat akan diadakan jam enam petang tadi di Dataran Jaya, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Ketika ini media sedang berkumpul di Sheraton Hotel Petaling Jaya menantikan sidang media khas dan difahamkan Tun Mahathir mungkin akan ke sini pada jam lapan malam nanti. – HARAKAHDAILY 23/2/2020