Apa selepas ini?

SAMA ada kita suka atau tidak, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memang sudah jatuh. Ketidakstabilan ikatan parti-parti dalam PH di samping politik berlebihan di dalam parti sendiri yang banyak menyumbang kepada kejatuhannya. Disamping faktor liabiliti DAP yang disebut-sebut orang itu.

Advertisement

Tidak pernah dibuat orang, PM sebuah kerajaan yang memerintah menukar parti-parti dalam kerajaannya di tengah jalan. Pasti ada sesuatu yang buruk di dalam PH yang memaksa beliau melakukan demikian. Dalam usianya sedemikian, tiada kepentingan lain melainkan kepentingan negara juga yang dijadikan sandaran.

Tidak mungkin untuk komponen parti-parti ini untuk mengekalkan status quo kerajaan sedia ada selepas kejutan yang berlaku pada hari Ahad yang sangat panjang semalam. Kalaupun PH masih wujud, perasaan prejudis di kalangan parti komponen atau dalam kalangan Ahli Parlimen sepakatan akan semakin menebal.

Pilihan yang ada hanyalah membenarkan sebuah kerajaan baru terbentuk dengan gabungan parti-parti politik baru yang lebih stabil atau membubarkan Parlimen.

Pembubaran Parlimen mungkin langkah yang terbaik kepada kebanyakan kita bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru. Namun ketidakstabilan politik pada hari ini disamping suasana ekonomi yang tidak menentu akan membawa kepada masalah yang lebih buruk kepada negara.

Namun apabila sebuah parti yang memerintah, kalah lima PRK secara berturut-turut dengan majoriti yang besar, secara tidak langsung menggambarkan mandat rakyat yang disebut-sebut orang itu telah tidak bersama dengan kerajaan yang sedia ada.

Maka akhirnya sebuah kerajaan baru sahaja pilihan yang perlu diambil. Menariknya contoh di negeri Perak sebelum ini pasti akan di guna pakai oleh YDP Agong bagi membantu baginda membuat keputusan. Baginda akan berjumpa semua stakeholders. Menimbang baik buruk setiap pilihan. Barulah pengumuman dapat dilakukan seperti menunggu Pemegang Mohor Besar Raja-raja buat pengumunan Hari Raya sahaja suspen nya.

Adakah akan ada reformasi kedua? Rasanya tidak. Dokongan DSAI 22 tahun lampau tidak lagi bersama beliau pada hari ini. Tiada lagi Jentera PAS yang menggerakkan rakyat. Tiada lagi aktivis reformasi yang membentuk PKR yang sanggup menadah badan untuk disembur dengan Water Canon atau dibogelkan dalam tahanan penjara. Majoriti mereka dalam blok Azmin. Yang tinggal dalam PKR ialah Otai Reformasi yang tidak bergigi atau Budak Hingusan seperti kata YB Zuraidah.

Apapun kita berdoa semoga negara ini terus aman makmur dan sejahtera untuk tahun-tahun mendatang.

DR MOHD MAZRI YAHYA – HARAKAHDAILY 24/2/2020