Kalaulah Anwar menyertai PAS dahulu….

SELEPAS dibebaskan dari Kem Kamunting pada November 1976, Anwar Ibrahim kembali menjawat jawatan Presiden ABIM. Anwar mula mendekati PAS dan selalu berada di atas pentas parti tersebut. Hubungan dengan bekas pimpinan ABIM yang ber’title’kan ustaz semakin bertambah erat. Sewaktu kempen pilihan raya umum 1978, Anwar dan ABIM banyak membantu Dato’ Asri untuk memenangkan PAS di Kelantan. Desas-desus Anwar Ibrahim menyertai PAS bertiup kencang apabila Dato’ Asri menyatakan beliau sanggup meletakkan jawatan dan menyerahkan jawatan Yang Dipertua Agung PAS kepada Anwar (Mohd Nazir Ibrahim. 2014)

Advertisement

Namun sebaliknya Anwar membuat keputusan yang mengejutkan apabila mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno pada tahun 1982. Kemasukan Anwar ke dalam parti nasionalis yang sebelum itu pernah ditentangnya mendapat reaksi yang negatif daripada pendukung gerakan Islam, terutama daripada ABIM sendiri sehingga beberapa pimpinan daripada gerakan tersebut menghasilkan kertas kerja bertajuk ‘Kenapa Kemasukan Sdr Anwar Ibrahim Ke Dalam Umno Tidak Syare’i’ (Mohd Fuad Mohd Salleh. 2015).

Kertas kerja tersebut tidak diberi tarikh dan dipercayai tidak diterbitkan oleh ABIM. Ia dikatakan beredar secara meluas dalam Muktamar ABIM yang ke-11 pada tahun 1982. Walaupun Majlis Syura ABIM yang bersidang bersama Anwar untuk membincangkan tindakan beliau menyertai Umno tidak membuat apa-apa keputusan muktamad, namun kertas kerja ini boleh dianggap sebagai fatwa atau justifikasi syariah oleh sebahagian besar ahli-ahli ABIM yang tidak bersetuju dengan tindakan Anwar meninggalkan gerakan tersebut. Ia juga dipercayai digunakan oleh sebahagian ahli-ahli PAS dan IRC yang menganggap tindakan Anwar sebagai belot kepada seluruh gerakan Islam (Badlihisham Mohd Nasir. 2009).

Antara isi perbahasan kertas kerja tersebut, dinyatakan bahawa ijtihad Anwar ini bertentangan dengan kaedah fikhiyyah iaitu ‘sadd  al-dzarai’ wajib’ (menutup pintu-pintu keburukan adalah wajib) (rujuk lampiran kertas kerja tersebut dalam Mohd Fuad Mohd Salleh. 2015).

Perbahasan kaedah fikhiyyah kedua dalam kertas kerja tersebut melihat tindakan Anwar membawa keburukan kepada diri beliau sendiri, ABIM dan gerakan Islam seluruhnya, sedangkan menghindari semua keburukan adalah wajib. Keburukan yang bakal menimpa Anwar ialah beluau dibimbangi larut di dalam ideologi dan metodologi Umno. Beliau juga dibimbangi mati di dalam lingkungan kematian jahiliyyah. Beliau juga didakwa akan kehilangan thiqah (kepercayaan) penuh pengikutnya di dalam dan luar ABIM (Badlihisham Mohd Nasir. 2009).

Ternyata perkara yang diramalkan dalam kertas kerja tersebut berlaku pada Anwar. Ketika berada dalam Umno Anwar menghentam para ulamak PAS di dalam dan luar negara. Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah dicaci dan digelak-tawakan oleh beliau ketika menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri. PAS dipermainkan di khalayak ramai malah Anwar pernah menggunakan istilah ‘baghal’ kepada para pemimpin PAS ketika membentangkan Belanjawan Negara pada tahun 1995 (Mohd Fuad Mohd Salleh. 2015).

Difahamkan antara sebab utama Anwar menerima dan memasuki Umno ialah kerana beliau bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan beliau yakin dapat mencapai hasrat itu. Pernah seorang ustaz yang senior bertanya kepada Anwar ketika syura berlangsung:

Saya terasa sangat bahawa saudara bercita-cita kuat untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. Cuba jelaskan, mungkin saudara mempunyai rangkaian strategi yang kami pada hari ini tidak boleh nampak tetapi amat jelas bagi saudara?

Jawapan Anwar amat mengejutkan, antara jawapan beliau:
“Minta maaf banyak-banyak. Saya tidak yakin bahawa strategi yang saya akan dedahkan ini tidak akan bocor keluar dari bilik ini dan ini tentunya akan menyulitkan saya apabila saya bergerak dari dalam Umno.”

Jawapan ini mengharukan dan menyebabkan ramai yang terkilan, kerana selama lebih 10 tahun Anwar Ibrahim bersama ABIM, rupa-rupanya beliau masih tidaj mempercayai anggota Syura ABIM (Mohd Fuad Mohd Salleh. 2015).

Mengenai cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir menulis dalam memoirnya:

Anwar should have been the Prime Minister of Malaysia today. But if he is not, it is because of his own actions. He left me no choice but to remove him and I did what I thought was best for the country. I may have made many mistakes, but removing Anwar was not one of them.

Anwar sepatutnya sudah jadi Perdana Menteri Malaysia hari ini. Tapi sekiranya dia tidak jadi, itu adalah kerana perbuatannya sendiri. Dia tidak beri saya pilihan melainkan membuang dia dan saya lakukan apa yang saya fikirkan terbaik untuk negara. Saya mungkin buat banyak kesilapan, tapi membuang Anwar bukan satu daripadanya.

Dahulu, Anwar menyertai Umno kerana kekagumannya dengan Tun Dr Mahathir. Namun orang yang dikagumi inilah yang menggagalkan cita-cita Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, bukan sekali tapi dua kali.

Kini, ketika Anwar buat kali kedua hampir selangkah menjadi Perdana Menteri. Tindakan Tun Dr Mahathir sekali lagi membuat Anwar rasa dikhianati. Sebagai muhasabah kepada beliau, berapa ramai pihak yang juga rasa dikhianati oleh tindakan Anwar demi mengejar cita-citanya menjadi PM? Setelah percubaan menjadi PM gagal apabila ijtihad beliau masuk Umno, kemudian tubuh parti sendiri, apakah sekiranya dahulu Anwar menyertai PAS, beliau dapat mencapai cita-citanya?

Teringat pesanan al-Marhum Ustaz Fadzil Noor:
“Jangan masuk PAS kalau kejar dunia. PAS bukan untuk orang kejar dunia. PAS untuk orang yang hendakkan akhirat, hidup mulia mati syahid.”

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN – HARAKAHDAILY 24/2/2020

Rujukan:
• Badlihisham Mohd Nasir. 2009: Dinamisme Gerakan Islam dan Cabaran Semasa.
• Mohd Fuad Mohd Salleh. 2015: Liku-liku Gerakan Islam di Malaysia Satu Catatan Awal.
• Mohd Nazir Ibrahim. 2014: Idealisme Anwar.
• Mahathir Mohamad. 2011: A Doctor In The House