Peluang bentuk kerajaan di saat ‘pintu terbuka’

SEMALAM, suasana negara bagai malam buat ketupat menanti pagi ‘Aidil fitri jadinya, ekoran riuh rendah perkembangan politik semasa. 

Advertisement


Pemimpin parti politik, ahli parlimen dan wartawan menjadi insan yang paling sibuk dengan urusan masing-masing. Sementara rakyat menanti penuh debar.


Satu penjuru, kita melihat ada pihak sedang mengarang jambangan naratif mengenai perkembangan politik semasa ini sebagai usaha pembentukan kerajaan pintu belakang.


Term kerajaan pintu belakang sememangnya menjadi igauan buruk. Sementelah ia dikaitkan dengan pengistilahan kepada sebuah kerajaan yang dibentuk secara tidak bermoral seperti rampasan kuasa, jual beli ahli parlimen dipasaran gelap dan sebagainya.


Kebetulan suasana malam hiruk pikuk ini berlaku, sebelah siangnya kami berada di Janda Baik dalam satu pemukiman Muafakat Nasional untuk berbincang dan mengatur langkah bagi memperkukuhkan Muafakat Nasional.


Fokus kami ialah menyusun gerakkerja dan persiapan bagi menghadapi PRU ke 15. Para pemimpin utama Muafakat Nasional dari kedua-dua parti turut membuat direction yang serupa iaitu bersiap siaga bagi menghadapi PRU 15 seterusnya merencana untuk memenangi PRU tersebut.


Sejurus berakhir pemukiman kami di Janda Baik, saya mula menerima maklumat demi maklumat bahawa PH  sedang mengalami gegaran dalaman pada skala richter yang sangat kuat sehingga meretakkan komponen mereka.


Maklumat yang diterima bahawa PH telah mula alami kekurangan bilangan untuk mengekalkan kerajaan apabila beberapa ahli parlimen dari PKR dan PPBM mengambil sikap left dari PH.

Ianya turut dizahirkan melalui himpunan majlis makan malam ahli-ahli parlimen di Sheraton dan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di rumahnya.


Detik begini memerlukan Muafakat Nasional menentu sikap dan membuat pilihan yang tepat.  
Muafakat Nasional tidak boleh membiarkan negara terumbang-ambing dalam situasi kerajaan yang hilang majoriti atau meletakkan rakyat menjadi mangsa dalam ketidakstabilan politik negara.


Pilihan utama tentu sahaja menghadapi Pilihan Raya Umum. Namun menghadapi pilihan ini, parlimen hendaklah dibubarkan terlebih dahulu bagi mengambil mandat baharu daripada rakyat melalui proses pilihan raya.


Pilihan kedua (jika pilihan pertama tidak berlaku) ialah  membuat pembentukan kerajaan baharu jika benar kerajaan lama (PH) telah hilang number (majoriti) untuk kekal sebagai sebuah kerajaan.


Kini, kepada kami dari Muafakat Nasional bukan lagi menghadapi isu peralihan kuasa dari PM 7 ke PM 8. Juga tidak lagi berbangkit soal isu “pintu belakang”.


Realiti yang berlaku sekarang ialah pintu hadapan mula terbuka luas. Malah pintu kiri dan kanan juga turut terbuka.


Saya mengambil sikap menyerahkannya kepada kebijaksanaan saf kepimpinan Muafakat Nasional  dalam mengambil pendirian dan menentu sikap. Saya percaya mereka turut mencongak strategi dan tindakan yang terbaik pada situasi begini.


Apa yang penting : Umat Islam mesti bersatu, jangan sampai negara terumbang-ambing dan nasib rakyat diperjudikan. Selamatkan negara dan binalah kerajaan Malaysia yang sejahtera.
Islam Memimpin Perpaduan

NASRUDIN HASSAN

HARAKAHDAILY 24/2/2020