Institusi KSN dan Perkhidmatan Awam Negara

DUA KENYATAAN media rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara di sebalik hiruk pikuk krisis politik nasional hari ini cukup untuk menggambarkan tugas kritikal anggota Perkhidmatan Awam sebagai jentera utama Kerajaan naungan SPB YDPA. Institusi KSN merupakan tonggak penting Perkhidmatan Awam mewakili seluruh penjawat awam Malaysia.

Ketika kuasa anggota pentadbiran (Kabinet) tidak lagi berfungsi, anggota Perkhidmatan Awam diketuai KSN, dibantu KPPA serta KSU dan KP setiap Kementerian dan agensi, mempunyai peranan signifikan lagi besar untuk meneruskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berdasarkan dasar-dasar sedia ada.

Apa pun terjadi hari ini, keesokannya, ada bil-bil dan invois-invois yang harus dijelaskan, ada tuntutan-tuntutan dari kontraktor yang harus dibayar, ada bayaran-bayaran perlu dibuat kepada rakyat, ada pemberian-pemberian yang perlu dibereskan, ada bantuan-bantuan kepada golongan memerlukan yang perlu ditunaikan.

Advertisement

Semua tugas dan tanggungjawab ini, terletak di pundak dan bahu para penjawat awam.

Sehebat mana pun kepimpinan negara dan pemain politik bergolak, rakyat tetap perlu meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Klinik harus dibuka, kaunter-kaunter perkhidmatan harus beroperasi, manakala dasar-dasar yang sedia ada perlu dilaksanakan, meskipun tiada lagi Menteri yang bertanggungjawab.

Institusi KSN dan Perkhidmatan Awam, sesungguhnya merupakan raison d’etre kepada kepercayaan rakyat kepada Kerajaan Yang di-Pertuan Agong.

Semoga tiada lagi suara-suara sumbang memperlekeh dan memperkecilkan Perkhidmatan Awam Negara yang juga turut sama-sama menyumbang bersama sektor swasta menggerakkan ekonomi dan memakmurkan negara.

HASIF WAN MHARAKAHDAILY 25/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.