Bubar Parlimen, jangan biar k’jaan ‘roh lama’ kembali


JATUHNYA Kerajaan PH adalah ekoran keretakan parah dalaman PH sendiri. PH menjadi kerajaan yang sangat lemah dan tidak mempunyai kredibiliti sebagai sebuah kerajaan yang stabil.

Advertisement

PH tidak perlu salahkan pihak lain. Usah menuding jari pada sesiapa. Melainkan PH mesti meratapi kelemahan sendiri yang akhirnya membawa kepada jatuhnya sebuah pemerintahan sebelum genap tempoh sepenggal.

Andainya PH sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, pastinya mereka  tidak akan tersungkur di kaki sendiri. 

Penentangan PAS terhadap PH selama ini adalah melunasi norma demokrasi dan berpaksi pada prinsip semak dan imbang. Tetapi PH gagal bertahan.

Kini negara tanpa kerajaan yang memerintah. Pembentukan kerajaan baharu sedang dalam proses. Rundingan dan perbincangan sedang giat berlangsung dari pelbagai pihak.

Sementara itu, PAS pacak prinsipnya bahawa penyertaan PAS ke dalam kerajaan hanyalah tanpa DAP. Lantaran tiada kompromi dengan DAP.

Apabila kencang bertiup, bahawa kerajaan baharu hanya akan mengembalikan wajah kerajaan lama iaitu masih melibatkan DAP.  Maka tiadalah erti pembentukan kerajaan baharu.

Menghidupkan semula kerajaan lama setelah ia jatuh tersungkur hasil pergolakkan dalaman mereka, hanyalah kembali membentuk sebuah kerajaan yang rapuh, tidak bermaruah dan terus meminggirkan sentimen orang Melayu.

Justeru itu, untuk bentuk kerajaan yang stabil dan berwibawa maka selayaknya ia dikembalikan kepada rakyat melalui pembubaran parlimen.
Saya percaya inilah penyelesaian yang boleh menghentikan konflik dan krisis dalam kerajaan yang lemah. 

Membangkit semula roh kerajaan yang telah mati hanya menjadikan ia sebagai kerajaan hantu.


NASRUDIN HASSAN
HARAKAHDAILY 25/2/2020