Gerakan keluar PKR bermula di Kelantan

KOTA BHARU: Ketika Pakatan Harapan (PH) ‘u-turn’ mencalonkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8, ratusan ahli PKR di Kelantan mengisytiharkan keluar parti.

Ketua Cabang PKR Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, seramai 400 pemimpin dan ahli parti itu di beberapa cabang keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden parti terbabit.

Advertisement

Katanya kepimpinan PKR sekarang berat sebelah dan tidak memperlihatkan keadilan kepada pemimpin dan ahli yang tidak serasi dengannya.

“Ini adalah mukadimah gerakan keluar PKR yang saya yakin akan berlaku di seluruh negara tidak lama lagi.

“Kami mulakan di Kelantan dan ramai lagi ahli yang akan mengikut jejak langkah kami,” katanya yang juga mantan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan ketika dihubungi di sini.

Sebelum itu beliau mengisytiharkan keluar parti di Padang Kala yang turut dihadiri bekas Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan Amran Abdul Ghani.

Antara Ketua Cabang yang turut mengisytihar keluar parti termasuk Rantau Panjang dan Kubang Kerian. Manakala cabang-cabang lain dihadiri wakil pimpinan.

Abdul Aziz yang juga bekas ahli parlimen Ketereh berkata, gerakan keluar PKR diyakini akan bertambah rancak kerana mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu.

Baru-baru ini PKR memecat keahlian Timbalan Presiden Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamarudin.

Berikutan itu 9 lagi ahli parlimen PKR turut keluar parti menjejaki Azmin dan Zuraida.– HARAKAHDAILY 26/2/2020