Ketika kuasa di tangan, kamu berdalih

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendirian menyokong penuh penubuhan Kerajaan Baharu hari ini. Keputusan ini tidak asing dan menjadi penantian rakyat apabila melihat kepincangan dan ketirisan Kerajaan PH hari ini dalam mentadbir negara.

Firman Allah yang berbunyi:

Advertisement

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”
.
(al-Nisa’: 58)

GAMIS meletakkan harapan yang tinggi kepada tampuk kerajaan baharu Malaysia agar mendengar dan mengangkat autonomi mahasiswa dalam memastikan nasib mahasiswa terbela. Dasar pendidikan yang selama ini dijadikan sebagai bahan tabung uji perlulah diberikan tumpuan penuh dalam memastikan generasi muda dapat menikmati ketulenan ilmu yang sebenar.

GAMIS mewakili anak muda dambakan kerajaan baharu ini mampu membentuk kesatuan dalam membuat keputusan dan dasar penting dalam memastikan keseimbangan negara. Hentikan polemik berteraskan agenda politik sehingga menindas anak muda serta merencatkan pembinaan generasi dan tamadun negara.

GAMIS berharap agar tidak timbul lagi isu anti-nasional, rasis dan ekstremis dalam semua lapisan khususnya pimpinan masyarakat. Kesatuan dan perpaduan rakyat perlulah dipupuk dalam memastikan kesejahteraan negara terjamin dan menutup peluang pihak yang ingin mencabul kedaulatan negara.

GAMIS juga meletakkan kepercayaan kepada kerajaan baharu untuk mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Negara, mengangkat nilai Rukun Negara, memartabatkan Bahasa Kebangsaan serta memelihara perpaduan kaum yang sekian lama cuba dicabuli oleh pihak berkepentingan sehingga menjejaskan keamanan negara.

Ketidakstabilan Kerajaan PH telah menghakis kepercayaan pelabur luar sehingga merencatkan ekonomi negara sekali gus menjatuhkan nilai Ringgit yang menatijahkan kesengsaraan kepada kehidupan rakyat. Suasana tidak kondusif yang didorong oleh pelbagai sebab diharapkan dapat diatasi dan ditambah baik agar mampu memulihkan ekonomi negara yang akan membuka luas peluang pekerjaan kepada generasi muda.

GAMIS meletakkan harapan besar kepada kerajaan baharu hari ini agar mampu menepis dan memberi sinar baharu kepada rakyat dengan memperbaiki dasar kerajaan yang selama ini tidak konsisten, tiada hala tuju yang tersusun dan menunjukkan secara jelas ketidakstabilan politik dalam pentadbiran PH, kerajaan sepenggal ini.

GAMIS dengan jelas menyatakan bahawa GAMIS akan sentiasa menjadi semak dan imbang kepada kerajaan dan negara dalam memastikan kestabilan pentadbiran negara ini. GAMIS juga menyeru agar seluruh rakyat dan anak muda khususnya mendukung penuh agenda perubahan kerajaan demi kesejahteraan negara. Jadikan sejarah yang berlaku pada hari ini merupakan peluang untuk rakyat Malaysia khususnya anak muda untuk membina negara ke arah lebih baik.

Ayuh bersama Malaysia Sejahtera!

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

SAIFULLAH BAIDURI,
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020 – HARAKAHDAILY 26/2/2020