Mengapa dipaksa guru merangkak?

SEDIH sangat hati ini apabila membaca laporan Harian Metro mengenai insiden seorang guru yang diminta merangkak di hadapan murid-murid oleh seorang ibu. Andai benar sekalipun guru tersebut tersalah, apakah wajar kita mengenakan tindakan di hadapan murid dan merakam aksi tersebut? Wajarkah kita mengherdik guru di hadapan anak-anak?

Sikap ibu ayah akan menjadi contoh yang paling dekat untuk anak-anak proses dan melekat dalam ingatan mereka. Andai ibu ayah sendiri bersikap biadab dengan guru, bagaimana mampu kita didik anak-anak untuk menghormati orang lain?

Al-Imam al-Ghazali sangat memuliakan guru. Sehingga beliau menegaskan bahkan meletakkan kedudukan guru lebih mulia dari kedudukan ibu bapa. Kata al-Imam al-Ghazali:

Advertisement

فإنَّ الوالد سببُ الوجود الحاضر، والحياة الفانية، والمعلم سبب الحياة الباقية

“Sesungguhnya ibu bapa adalah sebab kewujudan seorang anak di muka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru adalah sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya.”

(al-Ghazali, Ihya Ulum al-Din)

Al-Imam Ahmad pula meriwayatkan hadith mengenai bagaimana Rasulullah mendidik para Sahabat agar memberikan hak dan penghormatan kepada guru. Sabda Rasulullah:

ليس من أمَّتي من لم يُجلَّ كبيرنا، ويرحم صغيرنا، ويعرف لعالمنا

“Bukanlah di kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil, dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami.”

(HR Ahmad)

Perhatikan bagaimana Rasulullah mendidik para Sahabat agar saling menghormati di antara orang tua dan muda bahkan wajib memberikan penghormatan pada guru.

Para Sahabat Nabi dahulu sangat memuliakan guru mereka. Urwah ibn Mas’ud menceritakan bagaimana para Sahabat Nabi amat menghormati guru mereka iaitu Rasulullah S.A.W. Menurut beliau:

وإذا تكلم خفضوا أصواتهم عنده، وما يُحِدُّون إليه النظر تعظيمًا له

“Para Sahabat akan bercakap dengan suara yang rendah (sopan) ketika bertutur dengan Baginda S.A.W, serta tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati Rasulullah S.A.W.”

Pertuturan dan memek muka adalah antara perkara yang amat dijaga oleh para Sahabat. Mereka tidak meninggikan suara di sisi guru mereka dan mereka tidak menarik muka apabila berhadapan dengan guru.

Malah menurut Saidina Anas, para Sahabat akan berhati-hati ketika datang untuk bertemu dengan Rasulullah S.A.W sehingga Anas menggambarkan bahawa:

كانت أبواب النبي صلى الله عليه وسلم تـُقـْرعُ بالأظافير

“Sesungguhnya pintu rumah Rasulullah S.A.W itu diketuk dengan kuku-kuku.”

Kenyataan ini menggambarkan bagaimana para Sahabat bimbang untuk mengganggu Rasulullah sehingga mereka mengetuk pintu rumah Rasulullah dengan perlahan sekali.

Benar, guru adalah tidak maksum. Guru juga melakukan kesilapan. Namun ibu bapa seharusnya bertindak dengan penuh hikmah dan tidak mengikut emosi. Kita semua ingin membangunkan generasi yang saling hormat menghormati dan bukan membesarkan anak-anak dengan sikap biadab dan kurang ajar.

Moga Allah membimbing kita semua.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 26/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.