Mengapa perlu bubar Parlimen?

LIMA kali kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini boleh menjadi indikator penting mengapa mandat pemerintahan harus dikembalikan semula kepada rakyat. Punca utama kekalahan PH tersebut adalah disebabkan oleh gugatan terhadap tonggak-tonggak utama negara di samping mengabaikan janji untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. DAP adalah watak penting dan liabiliti utama kepada kerajaan hari ini.

Advertisement

Bermula 23 Februari lalu, kemelut PH tercetus disebabkan tindakan Anwar Ibrahim dan sekutunya menekan Tun Dr Mahathir untuk memberikan tarikh spesifik penyerahan jawatan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH. Rentetan itu, kita menyaksikan tindakan Bersatu keluar daripada koalisi PH keesokan harinya disusuli dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Hal ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan PH tidak kukuh, semakin goyah dan rapuh.

Apa yang boleh dilakukan oleh Muafakat Nasional setelah melihat PH tumbang ekoran tindakan YB Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen PKR yang lain keluar daripada PH? Sudah pasti Muafakat Nasional menghulurkan tangan bagi menstabilkan kerajaan dengan mengulangi sokongan kepada Tun Dr Mahathir sebagai PM. Walau bagaimanapun sokongan tersebut dituruti syarat untuk tidak bersama dengan DAP. Prinsip yang jelas ini tidak boleh dikompromi meskipun terdapat cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan atau kerajaan minoriti dengan DAP.

Disebabkan itu, maka rakyat melihat negara mempunyai tiga blok utama. Pertama, blok Tun Dr Mahathir (BERSATU). Kedua, blok Muafakat Nasional dan ketiga ialah blok PH. Setiap blok tidak mempunyai majoriti yang cukup dan sukar untuk mendapatkan titik persefahaman. Sekiranya blok Tun Dr Mahathir membentuk semula kerajaan baharu (PH 2.0), maka tidak ada apa-apa perubahan. Ia akan mengulangi semula naratif PH 1.0 yang sama, menampilkan sosok menteri kakistokrasi dan lebih teruk lagi didominasi oleh DAP yang suka membakar api sentimen kaum dan agama. 

Justeru adalah wajar bagi Perdana Menteri Interim menasihatkan YDPA untuk membubarkan Parlimen segera supaya rakyat diberi peluang sekali lagi memilih kerajaan yang lebih mantap mengemudi negara. Rakyat sudah meluat dengan PH 1.0 dan tidak mungkin mampu bertahan hingga akhir penggal.

Sekian, terima kasih.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa 
2 Rejab 1441 | 26 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 26/2/2020