Pemuda IKATAN sokong keputusan Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian menyokong keputusan sebulat suara parti Umno dan PAS, selaku parti induk Muafakat Nasional.

Ia bagi menyokong pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri melalui kerajaan perpaduan, tanpa kelibat DAP.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, IKATAN merupakan sebuah parti berbilang kaum yang menyokong perjuangan bangsa-bangsa lain seperti MCA dan MIC.

Advertisement

Namun jelasnya, dasar-dasar DAP dilihat jauh tersasar dengan perjuangan IKATAN dan Muafakat Nasional secara keseluruhan.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang didirikan atas dasar yang lemah dan bercelaru tidak akan kekal lama, contoh jelas adalah terkuburnya Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan memerintah.

“Hari ini telah memasuki hari ke-4 polemik politik tanah air yang membingungkan seluruh rakyat jelata.

“Rakyat di Malaysia bertuah kerana memiliki Ketua Negara, Yang Di-Pertuan Agong, selaku pemimpin ulung negara kita yang bijaksana dan sangat berhemah untuk menyelesaikan polemik politik yang dimulakan oleh ahli-ahli politik yang rakus kuasa.

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menjunjung keputusan YDPA, yang diyakini adil dan bijaksana. Hikmahnya polemik ini membuktikan peranan penting YDPA sebagai Ketua Negara yang diperlukan oleh rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berikutan itu, beliau menyeru ahli-ahli politik di Malaysia untuk bersikap adil kepada rakyat kerana polemik perebutan kuasa jawatan Perdana Menteri di kalangan pemimpin PH telah menyebabkan keadaan ekonomi negara merudum jatuh ke paras terendah sejak tahun 2011.

Berkata Shahir lagi, keadaan matawang ringgit turut menjadi lemah hingga menyebabkan negara kerugian berpuluh bilion ringgit dalam tempoh beberapa hari polemik bermula.

Jelasnya, kekalutan polemik politik kerajaan PH bermula kerana kerakusan kuasa pemimpin mereka sendiri.

“Hari ini mereka menunding jari ke arah pihak pembangkang untuk menyalahkan keadaan. Harus diingat, perebutan kuasa Perdana Menteri berlaku di antara pemimpin PH.

“Harus diingat, parti yang keluar daripada PH adalah parti gabungan mereka sendiri. Akhir sekali, 11 orang ahli Dewan Rakyat yang menjadi bebas adalah daripada PH, hingga menyebabkan PH hilang kuasa majoriti di Parlimen.

“Jadi, rakyat boleh menilai ketulusan pemimpin PH terhadap rakyat, ekonomi dan kemakmuran negara. Jangan baling batu, sembunyi tangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2020