Politik berprinsip!

ALHAMDULILLAH. Politik berprinsip! Inilah satu terma yang wajar diwacanakan dengan suasana politik yang berlaku hari ini. Politik berprinsip adalah asas bernegara dan pelestarian siasah Islamiyah serta relevan sepanjang zaman. Ia juga akan menurunkan suhu politik yang panas hari ini yang bahangnya masih hangat dirasai seantero negara.

Advertisement

Salah satu mesej yang viral hari ini ialah mesej berikut dan saya 100 peratus bersetuju dengannya:

Golongan A: Awalnya, tak sabar nak suruh Tun M serah jawatan PM kepada Anwar. Tapi bila rumah dah nak runtuh, terus sokong penuh Tun M kekal sebagai PM.

Golongan B: Awalnya, sokong Tun M kekal sebagai PM. Tapi bila Tun M cadangkan untuk membentuk ‘Unity Government’ dengan penyertaan DAP, terus tarik balik sokongan terhadap Tun M.

Satu golongan berubah kerana takut hilang kuasa, dan satu lagi golongan berubah kerana pertahankan pendirian. Anda sendiri boleh menilai!

Saya juga merenung semula apa yang disebut oleh YB Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau menyebut perkara ini beberapa kali dalam Mesyuarat PAS Pusat khususnya dalam mendepani kerencaman suasana politik negara dan selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Ia sebenarnya berasaskan dalil Al-Quran dan Sunnah Baginda Muhammad S.A.W.

Beliau menyebut lebih kurang: “Jika ada pihak menghulurkan perdamaian sambutlah perdamaian. Yang utama ialah tujuannya untuk mengangkat martabat Islam. PAS menegaskan bahawa politik kita mestilah berteraskan Islam. Tiada kompromi dalam dasar perjuangan yang kita bawa. PAS hendak Islam menang dan menang dengan Islam!”

Seterusnya saya juga sangat bersetuju dengan pesanan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan semasa Ucapan Penutupan di Pemukiman Muafakat Nasional baru-baru ini.

Beliau menutup ucapan beliau dengan mengatakan: “Dalam politik kita kena waspada. We don’t want to win a battle but lose the war. We need to ensure we win both the battle and war!” Terjemahannya: “Kita tidak mahu hanya menang pertempuran tapi kalah peperangan. Kita mestilah memenangi kedua-duanya pertempuran dan peperangan.”

Mengambil kira semua perkara ini, maka kita sewajarnya bersetuju sepenuhnya dengan pendirian Muafakat Nasional menarik sokongan kepada Tun Dr Mahathir bin Mohamad yang ingin membawa DAP kembali bersama dalam kerajaan. Ini kerana asas utama kita bersetuju dengan cadangan gerakan Perikatan Nasional sebelum ini ialah untuk menyahkan DAP daripada terus menjahamkan negara khususnya dalam agenda Islam-Melayu-Bumiputera!

Apapun, drama politik masih berterusan. Bersama kita doakan semoga DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menitahkan pembubaran Parlimen dan mengembalikan mandat kepada kuasa rakyat untuk menentukan kerajaan yang memerintah Malaysia seterusnya.

Dalam masa yang sama, marilah berempati dalam berpolitik khususnya ketika memberi komentar saat kekhusyukan mengikuti perkembangan politik genting ini. Saya menasihati diri sendiri dan kita semua supaya kita bersederhanalah. Usah troll melampau, usah membuat pembunuhan karakter (character assassinations) dan usah menghina berlebihan.

Hidup ini seperti roda, ada kala di atas dan ada kala di bawah! Politik berprinsip akan menyebabkan kita sentiasa tenang saat di atas atau saat di bawah. Politik binatang akan menyebabkan saat di atas kita seronok menghina, sebaliknya saat di bawah lawan kita pula yang gumbira mencerca!

Jom amalkan budaya politik matang, bertamadun dan sejahtera! Pada akhirnya kita ingin membina MalaysiaSejahtera! Syaratnya tanpa DAP!

Lebai Engineer
MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/2/2020