Samakah janji manifesto dengan janji tukar kuasa?

KERAJAAN dan penyokong Pakatan Harapan berdepan dengan dua dilema janji yang perlu ditunai atau tidak perlu ditunai.

Advertisement

Dua-dua janji itu penting dan jadi maruah hidup mati kerana Pakatan Harapan amat payah untuk dipenuhi kerajaan dan pemimpinnya.

Dua-dua janji inilah yang memungkinkan Pakatan Harapan menumbangkan kerajaan BN yang berusia 60 tahun itu.

Janji pertama, janji manifesto, setakat ini semua dapati kerajaannya tidak tertunai. Pembangkang bukan justeru politik lagi sebulat kata PH gagal tunai janji dan ia tidak dapat ditunaikan.

Majoriti rakyat dipercayai setuju dengan pembangkang tentang kerajaan PH tidak berupaya menunaikannya. Jika Perdana Menteri, menteri-menteri, parti-parti kerabat, beri dalih ia akan ditunaikan sebanyaknya setelah tempoh penggal lima tahun tamat.

Siapa yang percaya. Penyokong utama PM Mahathir, Tun Daim Zainudin pun tidak percaya PH berupaya menunaikannya. Bagi ia lima tahun lagi, lagi banyak yang tidak tertunai.

Apa yang PM dan menteri Guan Eng boleh kata tentang janji tak tertunai itu ialah kerana kerosakan kerajaan dan PM terdahulu terlalu teruk. Moga-moga dengan dalih itu warga PH ada alasan janji manifesto tidak perlu ditunaikan.

Ketika tidak mengapa janji manifesto tidak perlu ditunai sepenuhnya, mereka majoritinya, terutama PKR dan DAP, satu lagi janji PH mesti ditunaikan iaitu Dr. Mahathir serah kuasa dua tahun selepas berkuasa iaitu Mei ini.

Janji manifesto ada rasional tidak tunai semua, tetapi janji beri kuasa kepada Anwar tidak rasional jika tidak ditunai. Semua biduanda PKR sejak bersama universiti dengan Anwar dulu lagi, buat macam-macam supaya Mahathir tunai janji. Cuba kumpul alumni Yayasan untuk sambut penyerahan kuasa itu. Seboleh-bolehnya sebelum Mei.

Adakan macam-macam himpunan termasuk kenduri arwah, tekankan janji mesti ditunai. Depa tidak malu janji manifesto tidak ditunai, mereka malu kalau janji tukar kuasa tidak dipenuhi.

Maka semua tidak malu memaksa Mahathir tunai janji yang tidak ada hitam putih.

Janji bersyarat dalam manifesto tidak dituntut sikit pun supaya ditunai, tetapi janji lidah tidak bertulang mesti tunai.

Lalu sekalian hulubalang tidak bertauliah berfatwa, besar munafiknya tidak tunai janji. Islam itu mulia kerana menunaikan janji. Tetapi yang tidak tamat mengajinya kata Islam tunai janji meskipun sembrono.

Islam mengutamakan menunai janji. Wajib janji mesti ditunai. Berdosa jika tidak tunai janji. Tetapi ada janji haram diunaikan. Berjanji dengan zionis untuk memerangi Islam haram ditunaikan. Berjanji untuk merompak, haram ditunaikan.

Orang tengok Malaysia terlalu bodoh patuh pada janji jual air mentah kepada Singapura tiga sen bagi 1,000 gelen selagi ada bulan dan matahari.

Bila merdeka Tunku janji beri percuma King House kepada Britain sebagai kediaman rasmi perwakilannya di Kuala Lumpur. Bila Anwar jadi Ketua Pemuda Umno dirampasnya bangunan itu dari Inggeris.

Mana janji yang tidak membawa bencana boleh dan wajib ditunai. Bagi yang membawa akibat tidak haram pecah janji. Besar malunya janji manifesto tidak ditunai, tetapi mungkin huru hara bagi Mahathir tunai janji pada Anwar.

Apapun Anwar boleh dihormati kerana bersabar tangguh lagi terima kuasa dari Mei hingga November 2020. Dia akan lebih dipuji oleh semua jika lanjutkan sabar itu hingga Parlimen bubar untuk PRU15. Hebat dia kalau bersabar, payah kalau tidak sanggup lagi sabar. – HARAKAHDAILY 26/2/2020