SPRM – Pantau setiap Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memantau rapi perkembangan politik semasa tanah air bagi mengesan jika ada mana-mana Ahli Parlimen yang terlibat dengan sebarang kesalahan rasuah.

Beliau berharap tidak ada pemimpin yang diangkat menjadi kerajaan yang terlibat dengan rasuah sama ada memberi atau menerima rasuah.

“Saya berharap SPRM memantau setiap Ahli Parlimen bagi memastikan pemimpin yang bakal menjadi kerajaan tidak terlibat langsung dengan rasuah,” katanya kepada Harakahdaily.

Advertisement

Tegas beliau, ia amat penting untuk masa depan negara dan pemimpin yang dilantik adalah pemimpin yang berintegriti, berakhlak dan bermoral tinggi.

“Jika pemimpin yang dilantik itu terlibat dengan rasuah, macam mana mereka hendak menghapuskan rasuah kalau mereka sendiri pun memberi atau menerima rasuah?” Soalnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, sebuah negara yang baik memerlukan pemimpin yang baik.

“Baik pemimpin baiklah rakyat, rosak pemimpin maka rosaklah rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, jika seorang pemimpin itu boleh dijual beli dengan rasuah atau sebagainya ia merupakan satu bala untuk negara dan rakyat.

Tegasnya, macam mana mereka hendak melahirkan satu negara yang selamat dan sejahtera.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau rapi perkembangan politik semasa tanah air bagi mengesan jika terdapat sebarang kesalahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Seri Azam Baki, berkata pada masa sama pihaknya mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen supaya tidak menawarkan atau menerima sebarang bentuk suapan bagi sesuatu jawatan.HARAKAHDAILY 27/2/2020