Adakah pembentangan PRE tidak sah?

SEBELUM ditinjau lebih teliti Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang berjumlah RM20 bilion, lebih baik kita menilai terlebih dahulu keabsahan Perdana Menteri (PM) interim untuk membentangkannya. Semalam, beberapa pihak mempertikaikan hal tersebut kerana kabinet telah dibubarkan pada 24 Februari lalu dan Tun Dr Mahathir hanya dilantik sebagai PM interim sahaja. Tidak berkuasa penuh terhadap operasi kerajaan.

Advertisement

Perletakan jawatan YAB Perdana Menteri adalah selaras dengan peruntukan Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan. Secara langsung ia juga menandakan penamatan anggota Kabinet dan pemegang lantikan politik lain. Pada 24 Februari, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah melantik Tun Dr Mahathir sebagai PM interim untuk meneruskan pentadbiran dan tertakluk kepada arahan YDPA dari masa ke semasa. Parlimen masih belum dibubarkan.

Difahamkan PRE bukan belanjawan baharu sebaliknya ia adalah pelaksanaan kuasa kewangan eksekutif seperti penggunaan Contingency Fund dan Contingency Reserve yang telah diluluskan di bawah peruntukan Belanjawan 2020 tahun lepas. Ia boleh dibelanjakan terlebih dahulu dan perlu dibentangkan ke Parlimen selepas ini. Ia juga perlu disemak samada melibatkan peruntukan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan mahupun tidak.

Berdasarkan kedudukan Perlembagaan, had kuasa PM interim yang dibenarkan oleh YDPA dan maklumat teknikal tersebut, maka boleh dianggap bahawa pembentangan PRE oleh PM interim semalam adalah betul dan tidak bercanggah dengan undang-undang yang lain.

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN – HARAKAHDAILY 28/2/2020