Apa disebalik tarik tali politik negara kita?

SAYA berusaha membaca, menghubungi beberapa rakan yang sedang sibuk di Kuala Lumpur bagi memahami isu politik nasional yang berlaku sekarang. Sudah tentu saya rasa sangat gembira kerana walau dalam kesibukan, ada yang masih sudi membalas mesej-mesej saya bagi menguraikan kekusutan isu ini.
 
Beberapa inti perkongsian yang saya mohon kebenaran untuk disiarkan kepada pembaca, bagi mereka turut merasakan akan kehangatan situasi ini dengan kefahaman yang lebih jelas lagi. Saya menulis dalam kerangka memberi kefahaman, sekadar berkongsi maklumat.
 
Sebelum itu, saya ingin menegaskan bahawa tulisan ini juga bukan mewakili mana-mana pihak, ianya adalah pandangan yang saya rasakan bagus untuk dikongsi bersama. Pendapat atau maklumat saya ini juga mungkin tidak sesuai atau bertentangan bagi mereka yang pakar atau yang sudah mempunyai banyak maklumat. Saya mohon berbeza pendapat.
 
PH
 
Mereka telah memulakan langkah menjauhi Tun setelah mereka melihat dan berkeyakinan mereka telah mula mendapat sokongan daripada beberapa lagi Ahli Parlimen (AP) dari blok lawan mereka. Namun dakwaan mereka dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai 92 kerusi, ternyata tidak memberikan kelebihan kepada mereka.
 
Ugutan mereka kepada Tun kelihatan tidak berjalan dengan baik kerana pada petang Khamis, ada tersebar mesej melalui AMK, yang mengatakan bahawa Anwar telah diterima sebagai PM oleh YDPA, hanyalah serangan psikologi sahaja. PH juga mempunyai masalah sokongan majoriti AP. Mesej itu kelihatan memakan diri mereka.
 
Masalah sekarang ialah AP yang ada di blok PH, berkemungkinan tidak sanggup bersetia, kerana pegangan yang rapuh. Mereka bertahan sekarang hanya kerana tiada kocakan kuat. Jadi tiada siapa yang boleh mempercayai sesiapa pun pada waktu ini. Ianya terbukti apabila 11 orang AP PKR telah berpindah kem.
 
PH juga mempunyai DAP yang dianggap sebagai liabiliti terburuk mereka. Biawak hidup ini terpaksa ditanggung oleh PKR kerana jika dilepaskan, ia lari, maka makin parah lah PKR dalam usaha mereka menggapai impian bagi menjadikan Presiden mereka sebagai PM. Hanya PAN yang tidak menderhaka kepada DAP.
 
DAP sekarang adalah penyumbang utama kepada menjauhnya pengundi Melayu Islam dalam PH. Isu bangsa dan agama adalah isu goreng pisang panas dalam Malaysia, bahkan mungkin di dunia. DAP terlalu bodoh kerana membiarkan sentimen ini melukakan hati Melayu Islam. Kesombongan DAP ini benar-benar memeningkan Anwar.
 
Ini kerana statistik PRU lalu menunjukkan PH menerima 10-15 peratus undi Melayu Islam, undi PAS dan Umno berpecah dua, kemudian dicampur dengan 95 peratus undi Cina dan India. Pun begitu, mereka masih gagal mendapatkan dua pertiga kerusi di Parlimen. Bayangkan apabila undi Melayu Islam ini PH hilang, maka punahlah harapan mereka. DAP wajib dipersalahkan kerana kejahatan mereka.
 
Oleh itu, sekarang ini, sudah kedengaran berita mengenai pembelian AP. Ianya permainan biasa bagi kumpulan terdesak, apatah lagi mereka mengimami mazhab politik Machiavelli, menghalalkan cara bagi mencapai matlamat politik mereka dan bukannya politik mengikut acuan Rasulullah.
 
BERSATU
 
BERSATU bertindak keluar dari PH, sekali gus menarik 26 kerusi mereka yang sepatutnya boleh menjadikan PH berada dalam majoriti mudah. BERSATU sehingga kini, tidak mengumumkan secara rasmi ke blok manakah mereka akan berteduh. Manakala Tun, berjaya dipujuk semula untuk kembali ke pangkuan BERSATU.
 
Pada ketika ini, BERSATU lebih dilihat sebagai satu lagi pilihan tambahan kepada pilihan-pilihan yang ada. Ia mungkin merumitkan, mungkin juga membuka jalan yang lebih baik. Maka, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinobatkan untuk memegang tampuk PM. Dengan puluhan tahun pengalaman dalam kerajaan sehingga kepada jawatan nombor dua, beliau dilihat sesuai.
 
Namun BERSATU ialah parti yang baharu ditubuhkan. Ianya belum matang sepenuhnya. kepercayaan atas kesetiaan mereka, amat diragui dan diyakini amat rapuh. Lihat Syed Saddiq yang baru berumur 25 tahun. Apa pengorbanan beliau kepada BERSATU? Ia tidaklah lebih daripada beberapa drama yang dilakonkan bagi menjadi AP. Berbeza dengan parti-parti besar nasional yang lain. Ada laporan mengatakan bahawa mereka berpecah dua.
 
Buktinya ada figura penting BERSATU berbeza fikiran dengan ketua mereka. Berbeza pendapat adalah lumrah, tetapi menentang keputusan pimpinan, ianya suatu yang tidak boleh diterima. Dalilnya, Johor dan Kedah menjadi kerajaan dua alam kepada BERSATU. Satu bersama PH, satu lagi bersama Muafakat Nasional (MN). Ia adalah isu besar, menjadikan musuh sebagai rakan kongsi, hanya boleh diputuskan di peringkat tertinggi parti sahaja.
 
Dalam waktu yang sama, Shafie Afdhal telah dilaporkan dilihat berada di kediaman Muhyiddin Yassin. Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi, ia jelas mengecilkan lagi peluang PH untuk mendapatkan sokongan tambahan, sekali gus meletakkan BERSATU kembali masuk dalam pertandingan ini.
 
Muafakat Nasional

 
Blok ini yang paling tenang. Mereka tidak memerlukan apa-apa dari blok-blok lain yang ada, kecuali keputusan Tuanku YDPA sahaja. Ini jelas kerana Presiden PAS masih pulang berkuliah di Rusila hari ini (Jumaat). Tenang tanpa terganggu. Nyata, MN tegas dalam keputusan mereka, serahkan keputusan di tangan rakyat, adakan PRU.
 
Setelah tiga hari, MN telah mencapai kemenangan pertama mereka dengan membantu BERSATU menumbangkan Kerajaan PH di Johor. Walaupun PH mendakwa sebaliknya kerana sokongan mereka juga sama banyak dengan MN, namun, Sultan Johor telah mengeluarkan kenyataan untuk MN menamakan Menteri Besar (MB) mereka. ADUN Benut disahkan menjadi MB.
 
Situasi yang dijangka berlaku
 
(1) Jika Anwar dipilih YDPA menjadi PM dengan sokongan 92 AP PH itu, atas dasar MN, BERSATU dan WARISAN kekal dengan pegangan masing-masing, maka Malaysia akan diperintah oleh kerajaan yang sangat rapuh kerana kekuatan mereka di bawah separuh sokongan AP. Dua situasi dijangka berlaku.
 
Kerajaan PH sekali lagi akan runtuh dan kali ini berkemungkinan runtuh binasa. Ia jelas kerana MN, BERSATU dan WARISAN akan menyusahkan kerja-kerja PH. Ia juga akan mengembalikan PH untuk mengadakan semula PRU, bagi meraih sokongan yang lebih kuat di Parlimen, yang mana itu bukanlah pilihan mereka.
 
Kedua, AP dari blok lawan PH akan berbondong-bondong masuk ke kandang mereka kerana dijanjikan dengan berbagai ghanimah, jawatan ataupun berjaya diugut atas kes-kes lama mereka. Jika ini berlaku maka Anwar pasti akan melakukan perubahan dasar yang sangat drastik bagi memberikan wajah terbaik beliau terutama kepada Melayu Islam.
 
DAP akan menutup seketat-ketatnya mulut mereka melihat Islam berkembang buat sementara waktu kerana jika diganggu rancangan itu, maka lebih parahlah amukan yang saya percaya bukan sahaja daripada rakyat, malahan daripada AP-AP Melayu Islam juga. Sekali lagi lakonan masuk masjid, bertudung, membaca al-Quran oleh DAP akan berlaku.
 
(2) BERSATU pula, jika berjaya meyakinkan YDPA yang mereka menerima sokongan majoriti setelah mendapat undi daripada MN, kerana membuang DAP, maka PRU berjaya dihindari memandangkan PRU memerlukan belanja yang besar. Tetapi dijangka berlaku pula perpindahan besar-besaran dari kem PH ke MN. Dan jika ia terjadi, dipercayai ia adalah permulaan kepada masalah baharu.
 
Seperti yang saya sebutkan tadi, BERSATU ini ialah parti baru yang akar umbinya tidak sekuat parti-parti lain. Maka kemungkinan mereka kembali menyertai Umno atas beberapa sebab besar seperti aset Umno, nama besar, mahu merebut semula kedudukan mereka sebelum berpecah dahulu.
 
Bayangkan jika kerusi mereka telah diisi oleh rakan Umno, sesuatu mungkin terjadi. Dibimbangi rakan MN yang lain pula akan terjejas kerana kemasukan ahli BERSATU ke Umno. Tetapi yang paling utama sekarang ialah mengalahkan dahulu PH.
 
(3) Manakala MN pula memilih untuk dikembalikan mandat kepada rakyat. Ini adalah jalan terbaik bagi menstabilkan politik negara. Walaupun terpaksa berbelanja lebih, tetapi ianya amat perlu kerana masing-masing akan berkempen mengikut dasar parti masing-masing. Berbeza dengan lompat parti, mereka hanya mahu menyelamatkan diri mereka.
 
Adakah MN memilih untuk diadakan PRU kerana kelebihan mereka? Tidak. MN juga mempunyai tiga masalah utama mereka.. Faktor Najib yang sudah rosak imejnya. Walaupun ramai ahli biasa mempercayai bahawa Najib sudah dipulihkan imejnya, tetapi tidak bagi pimpinan parti. Mereka melakukan kajian lapangan bagi mengenal pasti kelemahan mereka.
 
Imej baharu Najib mungkin diterima oleh ahli-ahli Umno, tetapi bagi PAS, biarkan mahkamah menentukannya. Manakala masalah terbesar ialah bagi pengundi atas pagar. Sikap mereka kurang diketahui. Kemenangan MN di PRK, tidak menunjukkan penokokan undi baharu dari luar secara besar-besaran, tetapi lebih kepada peralihan undi dari pecah tiga dahulu, menjadi dua sahaja. Dan turut dibantu oleh boikot pengundi yang menyokong PH dahulu.
 
Masalah kedua ialah Zahid Hamidi. Mungkin timbul juga persepsi MN mahu menyelamatkan Najib dan Zahid dari diadili. Oleh itu kebarangkalian berlaku sekali lagi peralihan undi atas pagar kepada PH atas faktor Najib dan Zahid, jika gagal ditangani. Tetapi adakah MN akan mengenepikan Najib dan Zahid? Persoalan ini juga menjadi batu penghalang kepada MN. Dan ketiga ialah isu Rosmah Mansor.
 
Akan tetapi, demi memberikan jalan terbaik kepada negara, maka MN, tetap berpendirian PRU adalah jalan terbaik kepada kemelut ini, walaupun tiada jaminan terhadap kemenangan mutlak MN. Gelanggang yang adil telah dibuka oleh MN. satu sikap yang sangat ‘gentleman’ yang ditunjukkan. Tetapi daripada laporan-laporan, dimaklumkan bahawa PH amat takut dengan PRU dalam masa terdekat ini.
 
Kita boleh melihat kenyataan Ambiga yang menyebut jumlah wang yang akan dihabiskan jika PRU diadakan. Rafizi mempersendakan YDPA, Khalid Samad sekejap merayu, sekejap mengugut rakan-rakan lamanya tanpa menyedari yang dia juga berkhianat dengan kepercayaan rakyat dahulu apabila melarikan kerusi Shah Alam.
 
Manakala kenyataan pimpinan DAP seperti tidak ada. Mungkin memelihara imej mereka. Paling akhir ialah menyalahkan Tun kerana tidak membenarkan Manifesto PH dilaksanakan. Ia tidak lebih dari sekadar mahu melepaskan diri setelah Tun membuka aib mereka menipu itu.
 
Ketakutan PH ini adalah kerana mereka yakin penipuan mereka bagi kali kedua, tidak akan dipercayai lagi oleh rakyat. Masalah yang melanda MN, BERSATU dan WARISAN, tidaklah sebesar masalah mereka dengan rakyat sekarang. Kebencian rakyat kepada PH, dibina oleh PH sendiri. Mengejutkan, kebencian itu bukan daripada Melayu Islam sahaja, ia juga dari kaum dan agama lain.
 
Ada tiga perkara yang mengunci keseluruhan gerakan politik negara ketika ini. Manakala yang mempunyai anak kunci kepada permasalahan ini bagi menggerakkan semula enjin negara ialah YDPA. Baginda hanya perlu memilih satu sahaja kunci bagi menjalankannya.
 
Segala keputusan terletak kepada kebijaksanaan YDPA. Inilah yang dapat dilihat jelas peranan raja dalam negara kita. Bukan berlaku hari-hari, ianya jarang-jarang, tetapi amat penting bagi kestabilan negara. Dan pastinya baginda akan memilih yang terbaik bagi agama Islam juga, selain tidak mengenepikan kaum dan penganut lain.
 
Semoga Allah menyelamatkan Malaysia.
 
(Pandangan ini dikeluarkan pada jam 5.30 petang Malaysia. Ia mungkin bernilai atau tidak lagi bernilai setelah keputusan Mesyuarat Raja-raja dibacakan. Difahami juga MN bersama MIC dan MCA serta Kumpulan Azmin telah bersetuju untuk menyokong TS Muhyiddin Yassin sebagai PM. Jumlah 60+10+26. Warisan dan GPS belum membuat kenyataan, membuka lagi ruang pelbagai kemungkinan).
 
MOHD NASIR ABDULLAH
28 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 28/2/2020

Advertisement

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.