Belum yakin sokongan majoriti bakal PM- Agong

KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertuan Agong masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang Ahli Parlimen yang memperoleh kepercayaan majoriti anggota Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Baginda bagaimanapun akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik selaras dengan Perlembagaan demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin berkata, Baginda bertitah sedemikian selepas menemubual secara personal setiap 221 Ahli Parlimen sejak Selasa dan Rabu lepas.

Advertisement

“Berdasarkan proses temu bual ini, Seri Paduka Baginda masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Seri Paduka Baginda juga berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan terbabit dikeluarkan pada hari ini selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Istana Negara.

Pada Selasa dan Rabu lepas, Yang Di-Pertuan Agung telah mengadakan temu bual seorang demi seorang dengan Ahli Parlimen untuk menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

Seramai 221 dipanggil mengadap secara rawak bermula 90 anggota Ahli Parlimen pada Selasa dan 132 lagi pada hari Rabu.- HARAKAHDAILY 28/2/2020