Calon PM: YDPA akan panggil ketua parti politik

Belum ada calon dapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Advertisement

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, pihak YDPA akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara.

“Seri Paduka Baginda juga turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh YB Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin 2 Mac 2020,” ujarnya dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi.

Keputusan tersebut dititahkan selepas Baginda selesai mengadakan proses temubual dengan Ahli-ahli Parlimen yang berlangsung selama dua hari sejak Selasa lalu di Istana Negara dengan turut melibatkan Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Menurut kenyataan tersebut, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat itu.

“Berdasarkan proses temu bual ini, Seri Paduka Baginda masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu,” ujar Dato’ Ahmad Fadil.

Difahamkan, petang ini juga akan berlangsung satu Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara dipercayai untuk membincangkan berkenaan situasi politik terkini sedang melanda negara ketika ini. – HARAKAHDAILY 28/2/2020