PH, kerajaan tak sampai separuh penggal

Hasil menangguk di air yang keruh

NEGARA kita yang dikasihi Malaysia adalah sebuah negara Islam di mana memperuntukkan keistimewaan tertentu dengan jelas kepada agama Islam dan kepentingan Melayu dan juga Bumiputera lain.

Advertisement

Sejarahnya jelas Tanah Melayu sebagai pusaka orang Melayu yang beragama Islam. Artikel 160 Perlembagaan Malaysia mentakrifkan orang Melayu mestilah beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu dan bertutur dalam Bahasa Melayu.

Tidak hairanlah orang Melayu yang punya jati diri tinggi seperti YBM Tengku Razaleigh Hamzah, selaku veteran amat terkilan bila kelmarin ada wartawan Melayu yang ‘acah acah Mat Saleh’ menyoal dalam Bahasa Inggeris ketika wartawan lain menggunakan Bahasa Melayu. Tempelak Ku Li “Awak Melayu, cakap bahasa Melayu!”.

Pecahan kaum di Malaysia adalah 70 peratus Melayu dan Bumiputera, 22 peratus Cina, 7 peratus India dan 1 peratus lain-lain kaum. Orang Islam telah berpecah pecah kepada pelbagai parti politik yang bertanding antara satu sama lain dengan setiap parti politik mendapat peratus tertentu dari 70 peratus jumlah besar orang Melayu.

Pakatan Harapan yang DAP menjadi tulang belakangnya menggerakkan penyatuan kaum Cina dan India dengan dibantu sokongan peratus minoriti dari kalangan orang Melayu. Lebih 90 peratus undi kaum Cina adalah kepada PH dalam PRU14 lalu, selain sokongan majoriti kaum India.

Orang Islam pula berpecah dalam pelbagai parti terutama dua parti orang Islam dan Melayu yang paling besar dan berakar umbi dalam kalangan orang Melayu iaitu PAS dan Umno.

PRU14 adalah kemuncak bencana kepada orang Melayu, Islam di Malaysia bila Pakatan Harapan yang de facto leader sebenarnya adalah DAP yang mengawal pengundi teras bukan Islam dalam PH memenangi PRU14. Kemenangan PH adalah dari perpecahan ummah orang Melayu Islam dan Bumiputera.

Hakikatnya ia perwakilan atau representatif yang langsung tidak menggambarkan realiti sebenar komposisi kaum dan agama di Malaysia.

Yang lebih teruk apabila tempoh tidak sampai dua tahun pemerintahan PH diguna dengan gopoh untuk melaksanakan agenda DAP, Malaysian Malaysia yang menyamaratakan hak semua kaum, semua agama ini adalah bertentangan dengan roh penubuhan Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

ICERD, Statut Rom, isu Bahasa, Jawi, Mahkamah Syariah

Dalam masa yang sama PH dilihat berat sebelah dalam menangani isu Almarhum Adib, LTTE dan pelbagai kes rasuah di mahkamah di mana kes digugurkan dengan cara meragukan melibatkan tangan pejabat Peguam Negara, Tommy Thomas.

Ini mewujudkan kesedaran dan kebangkitan dalam kalangan orang Islam, Bumiputera bahawa kerajaan yang ada di bawah PH tidak memberi perhatian kepada aspirasi kelompok teras dalam rakyat Malaysia iaitulah Melayu, Bumiputera yang merupakan majoriti besar 70 peratus dari rakyat Malaysia.

PH benar benar menaiki kuasa berpunca dari perpecahan ummah, kekeruhan antara parti parti utama Melayu Islam yang saling berlawan antara satu sama lain.

PH berkuasa dengan menangguk di air yang keruh, perpecahan ummah. Jika kekeruhan ini dapat dijernihkan, mereka ini tiada apa-apapun dan tidak akan dapat lagi berlagak bagaikan tuan punya kepada negara pusaka Melayu Bumiputera ini.

Kerana itulah PAS dan Umno mengorak langkah menyatupadukan kembali ummah melalui Muafakat Nasional. Rungkaikan kekeruhan. Kesilapan yang pernah dilakukan jadikan pengajaran, jangan diulangi. Usaha ini diyakini mampu mewujudkan kestabilan politik, keamanan, kemakmuran yang berdaya tahan, sustainable.

Bila kelompok majoriti bersatu, kestabilan yang ada akan menjadikan lebih mudah memberi fokus kepada agenda membangunkan negara. Insya-Allah, paling lewat pada PRU15, kita kembalikan negara ini kepada landasan yg sepatutnya. Minoriti tidak boleh menentukan hala tuju negara dengan menyanggah aspirasi majoriti. Ia secara moralnya pun bertentangan dengan maksud demokrasi.

Sepatutnya berlaku adalah orang Melayu, Islam, Bumiputera yang merupakan 70 peratus rakyat negara Malaysia ini hendaklah memimpin dengan nisbah perwakilan munasabah dengan komposisi kaum dan agama di Malaysia.

Ia bermaksud, kerajaan yang turut disertai sama oleh minoriti dari kalangan kaum Cina dan India serta lain-lain. Ia bukan bermaksud cuma orang Melayu, Islam dan bumiputera sahaja yang menjadi anggota Kerajaan. Tetapi juga dianggotai kaum lain sesuai dengan peratus komposisi mereka.

Ramai kalangan kaum Cina dan India sebenarnya faham mengenai perkara ini. Jika kita berada di Negara China pun, tidak mungkin diberi ruang seperti di Malaysia sehingga mereka berpeluang jadi dominan dalam kerajaan selama hampir 2 tahun. Tengok apa yang berlaku kepada umat Islam Uyghur di China?

Di India lebih lebih lagi. Tengoklah layanan diberi kepada kelompok minoriti Islam di India pada hari ini. Mana dia suara kelompok hak asasi manusia yang lantang itu? Kita tidak seperti itu. Kita melayan kelompok minoriti dengan baik.

Berpuluh tahun sejak merdeka dibawah kepimpinan majoriti Islam, kaum lain beroleh keamanan, berkongsi kekayaan dan kemakmuran negara. Orang Melayu, Islam, Bumiputera ramai yang tahu kisah Unta dan Arab Badwi. Kalau tak tahu, mula lah ambil tahu agar sempat sedar sebelum rumah kita menjadi milik orang.

2020 kita Merdekakan kembali Malaysia.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
28 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 28/2/2020