Tiada Mesyuarat Khas Parlimen 2 Mac ini

KUALA LUMPUR : Tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Isnin ini, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataannya hari ini.

Advertisement

Beliau telah menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan bersetuju Dewan Rakyat dipanggil mesyuarat Isnin ini.

Bagaimanapun katanya, beliau mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) atas sebab ia tidak disusuli dengan Pemeberitahuan Usul yang lengkap.

Jelasnya, mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh beliau sendiri selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, namun sehingga saat ini, tiada notis dikeluarkan.

Beliau pada masa sama turut menyatakan pandangannya bahawa tiada keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat sehinggalah mendapat Pemakluman titah rasmi daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pemilihan Perdana Menteri.

Justeru itu, beliau memutuskan bahawa tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini dan akan terus meneliti perkembangan semasa.

Kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh Mesyuarat Khas akan dimaklumkan kemudian. – HARAKAHDAILY 28/2/2020