Buat sahabat-sahabatku dalam PH

ALHAMDULILLAH atas segalanya. Salam Malaysia Sejahtera! Kehangatan suhu politik tanahair kita masih terus terasa. Hari ini masuk hari ke-7 dan saya sebagaimana juga kegelisahan majoriti rakyat Malaysia berharap ianya akan berakhir dengan kadar segera.

Advertisement

PAS bersama gagasan Muafakat Nasional menyokong pembentukan Kerajaan Malaysia yang baharu menggantikan Pakatan Harapan (PH) didominasi DAP yang ternyata gagal dan indah khabar dari rupa! Kerajaan Malaysia yang ingin dijayakan ini bukan Malaysia Lebih Baharu (sebagaimana dogma Malaysia Baharu PH), tetapi sebuah Kerajaan yang ingin mengembalikan semula negara tercinta kepada landasannya yang cuba dipesongkan oleh gerombolan DAP.

Asas bernegara dan kontrak sosial yang ingin kita perjuangkan ialah Islam sebagai Agama Persekutuan, Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan rakyat berbilang kaum hidup aman damai dengan rumpun Melayu-Bumiputera sebagai kaum majoriti.

Pelbagai tuduhan dilemparkan oleh PH-DAP. Antaranya konon Perikatan Nasional akan mengembalikan Kerajaan Kleptokrat! Hey DAP, usah begitu sekali busuk hatimu. Pendirian kita jelas dalam isu pimpinan yang menghadapi pertuduhan dan sedang dibicarakan di Mahkamah. Mereka perlu melalui proses undang-undang dan jika tidak bersalah mereka perlu buktikan di Mahkamah.

Ini terpakai untuk kes Dato’ Seri Najib Razak, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan lain-lain. Kita berpegang kepada Rule Of Law! Dato’ Seri Najib sendiri telah meminta diteruskan perbicaraan kesnya dan tidak mahu jadi seperti kes Lim Guan Eng dan terowong yang digugurkan sebaik PH memerintah!

Bahkan Dato’ Seri Zahid semasa Ucaptama Pemukiman Muafakat Nasional baru-baru ini menyatakan dengan jelas bahawa usaha ini bukan untuk kepentingan peribadi beliau atau menyelamatkan mana-mana individu daripada pertuduhan dihadapi. Akan tetapi ianya demi maruah agama, bangsa dan tanah air!

Sekadar perkongsian, menarik bila Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas meletak jawatan semalam, jelas kegembiraan seluruh rakyat Malaysia. Dalam satu group WhatsApp saya, keluar sahaja berita dari TheEdge, 9 orang telah mengongsikan berita tersebut secara hampir serentak!

Biro Politik Pemuda PAN pula seakan-akan hilang punca bila tonggak kekuasaan sudah di hujung tanduk. Dalam Kenyataan Media desperado mereka menyatakan “Kerajaan Ekstrem PAS-Umno akan menelan autonomi Sabah dan Sarawak”. Akhi, ini sama macam tuduhan DAP sejak kewujudannya sampai kini, fitnah berterusan kepada usaha PAS. Atau sememangnya PAN ini Pak Turut DAP?

PAS sudah bertapak di Sabah sejak 30 tahun yang lepas dan sejak 25 tahun yang lepas di Sarawak. Di mana ekstremnya PAS? Bahkan kami juga kalian semua semasa kita sama-sama berjuang dalam PAS tahu betapa murninya usaha PAS mengembangkan misinya di Borneo meski sering ditekan beserta pelbagai mehnah dan tribulasi. Bukan hanya siyasah, usaha berterusan dalam bab dakwah, tarbiyah dan pendidikan juga terus diperkasa dan diarusperdanakan!

Hakikatnya, PAS-Umno dalam Muafakat Nasional akan sentiasa komited mengukuhkan keharmonian kaum demi kesejahteraan negara, pada masa yang sama, mempertahankan hak Bumiputera tanpa meminggirkan bangsa lain. Ayuh rakan-rakan di Sabah dan Sarawak, mari bersama Muafakat Nasional membina Malaysia Sejahtera!

Saya tertarik juga dengan seorang Ahli PAN yang seolah-olah ketakutan dan sangat kecewa kerana akan kehilangan kuasa bila menulis “Laknat Allah atas pengkhianat!” Dia junior saya di UIA dulu, tapi semasa PRU14 lepas telah unfriend saya di Facebook hanya kerana berbeza pandangan politik.

Lalu saya terkenang mantan Pimpinan-pimpinan PAS yang dulu melanggar bai’ah, meremeh-remehkan bai’ah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” yang telah dilafaz dan selepas itu dengan bangga meninggalkan jamaah. Adakah laknat Allah juga atas pengkhianatan tersebut akhi? Saya doakan semoga kita semua dirahmati Allah.

Buat akhirnya, sama-sama kita hayati doa ini yang merupakan ayat-ayat suci Al-Qur’an dari Yang Maha Segala-galanya. Firman Allah S.W.T:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا
‎تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيب
“Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upaya; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”
(Hud: 88)

“Ya Allah, kami memohon perlindungan daripadaMu daripada habisnya usia sebelum habisnya siap sedia. Bimbinglah kami dalam mendaulatkan agamaMu. Allahumma Aamiin.”

Ke arah membina “Malaysia Sejahtera”, “Demi Islam”, “Demi Negara”, “Tanpa DAP!”

Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

Lebai Engineer
MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,
Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 29/2/2020