TERKINI | Laporan Khas dari Istana Negara, 29 Februari

KUALA LUMPUR: Istana Negara dijangka bakal sibuk sekali lagi apabila desas-desus menyatakan akan berlangsung peristiwa besar sekali lagi hari ini dan pihak media dijangka akan terus berkampung di sini.

Advertisement

Menurut sumber, selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengeluarkan kenyataan mengenai tiada calon yang berjaya mendapat majoriti semalam, maka episod baharu akan bermula lagi.

Semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan sebagai calon Perdana Menteri oleh Majlis Tertinggi BERSATU, dan kemudiannya Ahli Parlimen Bebas yang bersama Dato’ Seri Azmin Ali juga menyatakan sokongan.

Lewat petang Jumaat, Muafakat Nasional pula menyatakan sokongan kepada pencalonan itu, manakala situasi makin menarik, dapat dilihat Pakatan Harapan semakin cemas dengan beberapa kenyataan provokasi kini mula keluar.

Jika dilihat trend laporan portal yang memihak kepada DAP dan PH, menjurus kepada cuba memberi gambaran negatif jika gabungan Muafakat Nasional-BERSATU dan beberapa parti lain berjaya mencetus kerajaan baharu.

Apa pun perkembangan dari semasa ke semasa akan diberikan mengenai sebarang pembentukan kerajaan yang mungkin berlaku. – HARAKAHDAILY 29/2/2020

● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ● ○ ●

LINTAS LANGSUNG

04:30 petang – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin diisytiharkan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan setelah mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagaimana diumumkan Istana Negara. Satu surat dikeluarkan menerusi Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu disahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mutafa Billah Shah.

02:30 petang – Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muafakat Nasional komited mengusahakan penyelesaian kepada kemelut politik yang disifatkan seperti angka 69 ini demi kestabilan negara. Beliau optimis senario sedang berlaku kini dijangka selesai sama ada esok atau lusa. Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, seandainya tidak selesai yakni gagal mendapat jumlah majoriti sokongan diperlukan, PAS mencadangkan supaya dikembalikan mandat kepada rakyat membuat pemilihan yakni dengan membubarkan Parlimen.

01:40 petang – Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim keluar dengan kenderaannya yang dilihat turut disertai Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Fadzil selepas 10 minit memasuki Istana Negara. Terdahulu Timbalan Presiden PAN, Dato’ Seri Salahuddin Ayub ketika keluar dari Istana Negara mendakwa kepada media bahawa BERSATU akan kembali bersama PH 2.0.

01:30 petang – Ketika PH hari ini menzahirkan kembali sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku calon Perdana Menteri ke-8, terdapat suara yang menuntut supaya Undi Tidak Percaya dilakukan ke atas beliau di Dewan Rakyat. Walhal ketika sama, Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kelmarin dinamakan oleh PH sebagai calon PM ke-8 hari ini dilihat telah ‘menyerah kalah’ dan kembali menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir. Malah, menurut Ahli Parlimen PKR Subang, Wong Chen bahawa ‘orang dalam’ mengakui Anwar menawarkan tidak menyertai Kabinet dan memberi laluan kepada Mahathir sebagai PM demi kelangsungan PH 2.0

01:00 petang – Suara daripada kem Pakatan Harapan dikatakan tegas menolak untuk tidak menerima sama sekali bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilabelkan sebagai ‘merancang rampasan kuasa’ dalam kerajaan baharu atau Kerajaan PH 2.0 bakal dibentuk. Bahkan mendakwa GPS dan WARISAN ‘mungkin’ menjadi sebahagian kerajaan baharu itu ketika mana kedua-dua pihak dari Sabah dan Sarawak itu dilihat nyata sedang bersama Muhyiddin hari ini.

12:30 tengahari – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata bahawa BERSATU, Umno, PAS, WARISAN dan GPS serta pasukan bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah cukup bilangan 120 majoriti. Reaksi ceria juga ditunjukkan gabungan tersebut yang memberi isyarat kepada media bahawa mereka akan “kembali ke Istana Negara esok”. Pembayang diberi kepada media ianya adalah acara angkat sumpah Perdana Menteri Ke-8 bakal berlangsung selewat-lewatnya hari Isnin.

Sementara itu Dato’ Dr Khairuddin juga menempelak sokongan ‘U-turn’ PH kepada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sandiwara setelah melihat mereka tidak cukup bilangan majoriti. Hal tersebut katanya setelah mereka berjanji menyokong Tun, tetapi kemudian menamakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai PM. Namun bidasnya kembali bersikap khianat kepada Tun dan hari ini memujuk pula Tun. Tempelaknya, itu semua sekadar lakonan untuk menyelamatkan nyawa politik masing-masing, sedangkan rakyat sudah muak dengan drama politik berpanjangan ini.

12:00 tengahari – Kelihatan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama sahabat karibnya, Mohamad Sabu yang merupakan Presiden PAN bersama dalam kereta Vellfire keluar dari Istana Negara.

11:50 pagi – Gabungan yang menyokong Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan telah mencapai jumlah majoriti disebalik dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau juga memiliki jumlah majoriti dari blok Pakatan Harapan. Gabungan menyokong Muhyiddin tersebut dilihat memberi isyarat bersama sebentar tadi melibatkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan juga pemimpin GPS, Dato’ Seri Fadillah Yusof dan pemimpin STAR, Dato’ Dr Jeffrey Gapari Kitingan serta Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup.

11:47 pagi – Kelihatan tiga buah kereta Vellfire, sebuah Perdana mewah berwarna hitam dan sebuah BMW berwarna putih parkir di bahu jalan. Wartawan kemudian memeriksa kenderaan tersebut, kelihatan bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad memakai kemeja berwarna biru melambai tangan ke wartawan sebelum masuk ke kereta BMW. BMW yang dinaiki Dr Dzulkefly masuk melalui Pintu 2 diikuti Presiden PAN, Mohamad Sabu yang masuk semula.

11:30 pagi – Presiden PAN, Mohamad Sabu kelihatan menggunakan kereta mewah keluar dari pekarangan Istana Negara. Namun hanya sekadar menyatakan kepada wartawan “Terima kasih” sambil bermain telefon bimbit dan tunduk ke bawah.

11:00 pagi – Pemimpin DAP terus merayu-rayu dengan menunjukkan pelbagai watak lunak. Ada yang memuat naik acara parti itu dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Negaraku’ dan ada juga mengkaryakan puisi pujangga. Ketika sama, Pengerusi DAP Negeri Sarawak, Chong Chien Jen menyatakan pihaknya sedia bekerjasama dengan GPS kononnya atas nama kepentingan negara. Pun begitu, Pengerusi GPS, James Masing menegaskan pihaknya tidak akan memberi sokongan kepada gabungan yang bersama DAP. Chong pula berterusan menunjukkan sikap rasis apabila menuduh PAS dan Umno bekerja dengan ‘perkauman’ dan ‘pelampau agama’.

10:43 pagi – Kenderaan yang membawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah keluar dari Istana Negara. Antara yang turut kelihatan keluar adalah Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan Umno lain. Kenderaan yang dinaiki Presiden PAS itu telah dikerumuni oleh wartawan. Namun Tuan Guru tidak memberi sebarang kenyataan. Begitupun, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan pula menyatakan kepada wartawan “Esok kami akan kembali ke sini semula”.

10:20 pagi – Perkembangan semakin menarik apabila kenderaan dipercayai membawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimaklumkan telah memasuki Pintu 1 Istana Negara sebentar tadi, manakala Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula melalui Pintu 2.

10:05 pagi – Hampir 20 kereta yang dinaiki oleh pimpinan PAS telah memasuki pekarangan Istana Negara melalui Pintu 2 dengan turut kelihatan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sempat melambai tangan kepada media, serta Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dan beberapa pimpinan utama.

09:45 pagi – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan mengisytiharkan beliau memiliki sokongan majoriti daripada Pakatan Harapan yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kenyataan tersebut menyusuli pengumuman Pakatan Harapan sebentar tadi.

09:30 pagi – Pakatan Harapan menarik semua sokongan terhadap Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kembali menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kenyataan tersebut dibuat melalui Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini. U-turn kali ketiga ini memperlihatkan keresahan kelompok Anwar yang sebelum ini pernah membelakangi Mahathir dengan mencalonkan Anwar sebagai PM. Namun selepas insiden semalam, mereka kembali merayu Tun M dengan pusingan-U yang amat menjelekkan.

09:19 pagi – Kelihatan sebuah kereta dengan diiringi pihak keselamatan telah memasuki pekarangan Istana Negara melalui Pintu 1. Namun tidak diketahui siapa yang berada dalam kereta tersebut.

09:00 pagi – Di pekarangan Pintu 2 Istana Negara kekal tenang dan tidak menunjukkan sebarang pergerakan keluar dan masuk kenderaan. Anggota keselamatan dilihat mengawal dengan sebuah trak polis membawa kelengkapan topi keledar keselamatan diparkir di bahu jalan. Para wartawan juga sudah mula berkampung dan bersiap sedia untuk melaporkan perkembangan terkini.

08:39 pagi – Pintu utama Istana Negara masih belum ada sebarang pergerakan. Namun kelihatan sebuah helikopter baru sahaja mendarat tetapi tidak diketahui siapa di dalamnya.