PH sanggah titah budi bicara YDPA?

KUALA LUMPUR: Semua pihak dinasihatkan agar menerima dengan hati yang lapang dan tidak mempersoalkan ketetapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung pelantikan Perdana Menteri sebagaimana diumumkan petang tadi.

Advertisement

Penganalisis Politik, Dr Muhammad Fathi Yusof menegaskan, ketetapan YDPA tidak boleh dipersoal dan dirayu di mana Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan secara jelas telah memperuntukan kuasa berkenaan kepada Baginda.

Menghurai Perkara 40(2) ujarnya, YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu (a) melantik seorang Perdana Menteri di mana mempunyai kuasa amat luas di bawah peruntukan tersebut itu.

“Dalam Perkara 43(2)(a) disebut bahawa YDPA melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang ‘pada hematnya mungkin’ mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Perkataan ‘pada hematnya’ dan perkataan ‘mungkin’ menggambarkan betapa luasnya budi bicara YDPA,” terang beliau yang juga Pensyarah Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia.

Kata Dr Fathi, rakyat sudah bosan dengan polemik dan pergolakan politik di mana mereka mahukan pentadbiran yang lancar bagi memacu pembangunan negara dan YDPA telahpun membuat keputusan sangat jelas.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui kenyataan rasmi dikeluarkan pihak Istana Negara telah memperkenankan pelantikan Perdana Menteri Ke-8 kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan tersebut dititahkan sekitar jam 4:30 petang tadi setelah Baginda mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing termasuk Ahli Dewan Rakyat dari kalangan Bebas pada sebelah paginya.

Malah kenyataan tersebut juga turut memaklumkan bahawa Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan berlangsung di Istana Negara pada esok, Ahad 1 Mac jam 10:30 pagi.

Bagaimanapun sejurus pengumuman itu Timbalan Presiden PAN, Dato’ Seri Salahuddin Ayub dilihat antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) paling awal menyanggah titah tersebut dengan terus mendakwa pihaknya memiliki jumlah mencukupi.

Kata Salahuddin, PH akan mengumpul bukti sokongan untuk dikemukakan kepada YDPA bagi pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM ke-8 di mana mendakwa mempunyai sekitar 112 undi sokongan Ahli Parlimen sehingga 4 petang hari ini.

“Saya bersama rakan-rakan pakatan sedang mengumpul bukti sokongan. Kita berasakan dari segi hak kami akan berusaha kerana yakin angka itu akan kami cuba buktikan melalui SD (akuan bersumpah) serta sokongan diberikan kepada Tun (Dr Mahathir) dan itu proses akan kami lalui.

“Kita akan cuba mengadakan mesyuarat pada petang hari ini di Yayasan Al-Bukhari yang turut akan disertai Tun (Dr Mahathir) dan lihat segala peraturan dan saluran perlembagaan untuk kita kemukan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui media di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Tindakan beliau itu merupakan kali kedua selepas reaksi sama terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail yang memperkenan kerajaan baharu dibentuk selepas mengadakan proses temu bual seumpama dengan semua ADUN Johor. – HARAKAHDAILY 29/2/2020