‘Politik 69’: Muafakat Nasional komited selesaikan kemelut

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang disifatkan seperti angka 69 ketika ini komited diusahakan penyelesaiannya oleh Muafakat Nasional demi kestabilan negara, demikian jaminan dinyatakan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah optimis beliau, senario sedang berlaku kini dijangka selesai sama ada esok atau lusa di mana dakwaan-dakwaan antara pihak terbabit telah disusuli dengan pembuktian kepada pihak Istana Negara sebanyak dua kali dalam minggu ini.

“Terima kasih banyak Ke Bawah Duli Tuanku (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang telah pun mengambil inisiatif yang bukan mudah untuk menyelesaikan kemelut ini. Yang inilah sistem Raja Berperlembagaan.

“Saya fikir hari ini baru rakyat memahami bagaimana peranan Institusi DiRaja, yang mana Raja-raja turut terlibat, bincang, cari jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku ini. Mudah-mudahan Allah Taala memberi kekuatan kepada Tuanku untuk menyelesaikan kemelut ini dengan penuh harmoni dengan penuh ketenangan,” doanya.

Advertisement

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, seandainya tidak selesai yakni gagal mendapat jumlah majoriti sokongan diperlukan, PAS mencadangkan supaya dikembalikan mandat kepada rakyat membuat pemilihan yakni dengan membubarkan Parlimen.

Pun begitu, beliau berharap semua keadaan tersebut berlaku dalam keadaan aman, tenteram dan harmoni tanpa menimbulkan suasana tidak diingini di mana pujinya setakat kemelut ini terjadi, rakyat kekal tenang tanpa ada mengambil kesempatan sesuatu.

Bahkan Dato’ Tuan Ibrahim berharap sikap ditunjukkan rakyat ketika ini akan menjadi model betapa kemelut yang terjadi telah dihadapi dengan sikap saling hormat, mengikut peraturan dan sistem sedia ada di dalam negara.

Beliau juga mengingatkan rakyat dan khususnya ahli PAS bahawa semua yang sedang terjadi ini adalah perancangan Allah S.W.T dan manusia hanya menjalankannya, sekali gus menuntut supaya jalan ini diermudahkan dengan munajat agar mendapat penyelesaian terbaik.

“Apa yang penting ialah kita seluruh rakyat Malaysia kita harapkan supaya berada dalam keadaan tenang, tidak menyebar maklumat-maklumat yang boleh mencetuskan suasana ketegangan di kalangan masyarakat,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 29/2/2020