Tahniah Tan Sri Muhyiddin PM ke-8

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menjunjung keputusan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong di atas perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Advertisement

Ia sekali gus menyelesaikan kemelut politik negara yang berlaku sepanjang seminggu ini.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata pihaknya turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas perlantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. 

“Diharapkan kepimpinan Tan Sri dapat mengemudi negara keluar daripada kemelut politik dan kegawatan ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Susulan daripada itu, pihaknya juga menyeru ahli-ahli politik di Malaysia untuk bersikap adil kepada rakyat dengan sama-sama fokuskan kepada pembinaan negara. 

Menurutnya, politik picisan harus diketepikan demi rakyat dan negara tercinta.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada pihak media, terutama wartawan-wartawan yang menjadi “hero” dalam memberikan berita-berita terkini sejak seminggu krisis berlaku. 

“Panas terik dan lelah penat mereka adalah pengorbanan besar buat negara,” ujarnya.

Hari ini, pihak Istana telah mengeluarkan satu surat menerusi Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu disahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri ke-8.- HARAKAHDAILY 29/2/2020